HiburanMahkamah

Mahmakah perintah Ali Puteh bayar RM60,000 kepada kakak ipar

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pelawak Ali Puteh membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham pelawak Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd. Ali.

Keputusan mahkamah dibuat terhadap Ali yang mengeluarkan kata-kata mengaibkan kakak iparnya itu di laman sosial Instagram, dua tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan demikian selepas membenarkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh Nor Hidayah selaku plaintif terhadap Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan yang merupakan defendan.

Ali berkata, dia bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwanya tidak tepat.

“Saya akur dengan keputusan yang ditetapkan hakim Cuma saya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi sebab ada beberapa fakta yang tidak betul.

“Buat masa ini, saya tidak boleh berkongsi apakah fakta yang dimaksudkan kerana bimbang ia akan mengganggu proses di Mahkamah tinggi nanti,” katanya seperti dilaporkan Gempak.

Kata Ali lagi, keputusan hari ini berpihak kepada balu allahyarham abangnya itu dan Ali diberi masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

“Isya-Allah saya akan buat rayuan di Mahkamah Tinggi. Apa yang ditetapkan hari ini, saya sangat ok dan tiada langsung rasa nak marah atau nak mengamuk sebab saya menghormati keputusan mahkamah,” ujar Ali.

Menurut beliau lagi, biarpun reda dengan keputusan mahkamah, ia sedikit sebanyak membuatkannya sedih setelah dua tahun memperjuangkan maruah keluarga.

Pada Mei 2020, Nor Hidayah, 30, memfail saman fitnah terhadap Ali Puteh, 34, berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun IGnya.

Kenyataan itu antara lain menggambarkan diri Nor Hidayah tidak bertanggungjawab.

Susulan itu, Nor Hidayah memohon ganti rugi am, teladan dan punitive dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Nor Hidayah juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya itu menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button