MahkamahNasional

Mahkamah larang bapa Asyifaa kongsi perkembangan kes sepanjang inkues

Kes bayi 15 bulan mati dalam buaian

MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini mengeluarkan perintah larangan (“gag order”) interim terhadap bapa Nour Rania Asyifaa Yuseri.

Bapa kepada bayi yang ditemukan meninggal dunia dalam buaian diberikan “gag order” yang menegah beliau daripada mengulas dan berkongsi perkembangan kes sepanjang inkues kematian anaknya berlangsung.

Hakim Mahkamah Sesyen Rushan Lutfi Mohamed membenarkan permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly untuk menghalang Yuseri Yusoff, 39, daripada membuat ulasan serta mempersoalkan peranan mahkamah, polis dan peguam negara berhubung inkues.

“Pihak pendakwaan memohon mendapatkan satu perintah larangan terhadap bapa mangsa daripada membuat apa-apa komen tentang mahkamah, polis dan Jabatan Peguam Negara agar inkues berjalan lancar.

“Pihak pendakwaan akan memfailkan perintah larangan hari ini dan akan diserahkan kepada Yuseri,” kata Husni di hadapan hakim.

Inkues bagi mencari punca kematian bayi berusia 15 bulan itu sepatutnya bermula hari ini namun ditangguhkan sekali lagi selepas hakim koroner dilaporkan sedang berkursus.

Rushan kemudiannya menetapkan tiga hari untuk prosiding inkues berlangsung, iaitu pada 22 September serta 10 dan 17 November depan.

Peguam pemerhati keluarga bayi tersebut, Muhammad Amin bin Anuar memberitahu mahkamah, pihaknya sudah mendapat laporan bedah siasat dan senarai saksi yang akan dipanggil sepanjang inkues.

Bagaimanapun pihaknya memohon untuk mendapatkan salinan dokumen lain untuk diteliti.

Pegawai pengendali inkues, Badius Zaman Ahmad, yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan bersetuju, dengan syarat ia tidak didedahkan dalam mana-mana media sosial.

Turut hadir peguam pemerhati kepada pengasuh, Nurliana Ali Othman.

Pada 22 Februari lepas, Asyifaa dilapor ditemukan pada kira-kira pukul 3 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam buaian di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan.

Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof berkata, bayi itu dijumpai dengan bahagian leher dan kepalanya terkeluar dari buaian manakala badannya masih berada di dalam buaian tersebut.

Pada 30 Mac, Yuseri mendakwa anaknya sebaliknya dijerut dan memberi masa dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan lanjut.

Tragedi menyayat hati ini turut mendapat perhatian isteri kepada Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dalam hantaran di Instagram pada 22 Jun berkata, kecederaan bayi itu yang dikatakan akibat terjerut tali buaian seperti tidak masuk akal dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan semula. – SUMBER FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button