BeritaNasionalPendidikan

Mahasiswa UniMAP perlu matang, berjiwa kental – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya mahasiswa berfikiran matang, berjiwa kental, berpandangan jauh dan mampu menyempurnakan tanggungjawab dengan baik bagi melengkapkan diri sebagai pemimpin pelapis negara masa depan.

Sehubungan itu, Baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam titahnya mahukan mahasiswa menggunakan tempoh belajar antara tiga hingga empat tahun ini untuk memenuhi semua kriteria ini di samping menimba ilmu dalam bidang masing-masing.

Titah Baginda, selain itu mahasiswa juga kena melengkapkan diri dengan mendalami ilmu dari pelbagai bidang iaitu membudayakan inovasi dan kreativiti, bersikap proaktif serta menghindari daripada melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak elok.

“Tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa adalah amanah yang perlu ditunaikan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Simbolik Penerimaan Mahasiswa Baharu Sidang Akademik 2022/2023 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam Pauh Putra, Arau petang semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.

Keberangkatan tiba Baginda berdua ke program anjuran universiti melalui Pusat Pembangunan Dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Pembantu Pelajar Minggu Suaikenal (PPMS) itu disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli serta kepimpinan tertinggi universiti.

Semasa bertitah, Tuanku Syed Faizuddin juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar baharu kerana berjaya melanjutkan pengajian UniMAP.

“Sudah tentu, kejayaan menempatkan diri ke menara gading adalah membanggakan dan pastinya menjadi harapan keluarga masing-masing,” titah Baginda.

Ssbanyak 1,921 mahasiswa baharu yang ditawarkan tempat di mana 1,231 sudahpun selesai mendaftar.

Manakala sebanyak 675 pelajar dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) pula akan mengikuti pengajian secara dalam talian untuk semester pertama ini.

Ambilan pelajar kali kedua dijadualkan dilaksanakan pada 30 Oktober ini bagi mengisi kira-kira 1,000 tempat lagi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button