Magis Pretty Ugly, Pasangan Bercinta Berdansa Di The Paddock
Kekal dengan magis yang tersendiri, Pretty Ugly berjaya membuatkan pasangan bercinta berdansa dalam konsert ulang tahun Pretty Ugly yang ke-21.
Konsert itu diadakan di The Paddock dan banyak lagu-lagu popular dimainkan sehingga menimbulkan rasa teruja dalam kalangan peminat.
Selain itu, vokalisnya, Neves Cugat turut menyanyikan beberapa lagu yang pernah digam stesen radio kerana ia berjudul ‘Bongok’.
Sedangkan jika dihayati liriknya, ia sekadar ragam yang sering dialami oleh pasangan bercinta namun dengan sentuhan Pretty Ugly, lagu tersebut menjadi catchy.
Melayan kenangan, mengusik adrenalin
Konsert ulang tahun ke-21 Pretty Ugly itu berlangsung selama 4 jam dimulai dengan persembahan daripada band jemputan sebagai pembukaan.
Antara band jemputan yang berpeluang hadir satu pentas pada 25 Februari 2023 di The Paddock, Kelana Jaya itu adalah Late Night Frequency serta Banyak Bunyi Republik.
Dengan baju berkilauan serta aksi Mr. Wolf, Late Night Frequency berjaya mencuri tumpuan peminat yang terbuka melayan muzik moden dari genre EDM.
Banyak Bunyi Republik memang menampilkan banyak muzik menerusi lagu-lagu yang dipersembahkan menjadikan mereka antara band yang fresh dan relevan.
Penyanyi kecil molek, Joanna Renisa tampil dengan aksi bersahaja menyanyikan lagu ‘Dia Milikmu’ yang pernah dirakam bersama Neves Cugat beberapa tahun dahulu.
Manisnya konsert ulang tahun Pretty Ugly yang ke-21
Boleh dikatakan ramai yang hadir ke konsert Pretty Ugly ini adalah pasangan yang sudah berkahwin atau lebih tepat, mereka bercinta pada zaman Pretty Ugly sedang popular.
Maka disebabkan itulah banyak lagu-lagu romantis Pretty Ugly terus membuatkan peminat berdansa dan paling mencuri tumpuan, apabila lagu Diari Seorang Lelaki dimainkan.
Peminat bukan sahaja mengimbau kenangan lalu malah masing-masing mengambil peluang untuk ekspresikan rasa cinta kepada pasangan dengan menyanyi bersama. – SM