Nasional

Lupakan bazar Ramadan, titah Sultan Johor

‘LUPAKAN bazar Ramadan.”  Titah itu dikeluarkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bimbang kemungkinan virus COVID-19 menular semula secara berleluasa sekiranya bazar Ramadan dibenarkan untuk beroperasi.

Ini kerana risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar sekaligus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Titah Baginda, penularan wabak berkenaan juga akan memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya virus maut yang telah membunuh lebih 40,000 orang di seluruh dunia.

Justeru Sultan Ibrahim berkata, adalah tidak sesuai untuk mengadakan bazar Ramadan ketika umat Islam melaksanakan ibadah puasa pertengahan bulan ini.

“Kes positif COVID-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan Bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah ditempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan Bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah Baginda.

Sultan Iskandar bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini

Menurut Baginda, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.

“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.

“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah Baginda.

Sementara itu Kedah membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan dan jualan sempena perayaan Aidilfitri di negeri itu pada tahun ini susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besarnya, Mukhriz Mahathir berkata keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalm.

“Kita nak mengelakkan berlaku pengumpulan atau (orang) berhimpun ramai-ramai yang boleh menyebabkan penularan wabak ini.

“Kita akan minta semua pihak berkuasa tempatan yang sudah berurusan, termasuk yang sudah ambil deposit untuk sewa tapak atau gerai, supaya pulangkan bayaran itu,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di Alor Setar. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button