Nasional

LPPSA tidak cakna

Apa salah tangguh bayaran pinjaman kakitangan kerajaan

OLEH: AWANG BELANGA

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam atau LPPSA nampaknya tidak cakna apabila memutuskan tidak akan memberi moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan kepada para penjawat awam.

Memang kakitangan awam semuanya mendapat pembayaran bantuan tunai RM500 dan pada masa yang sama gaji mereka tidak dipotong sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak COVID-19.

Jika dilihat dari segi kewangan kakitangan kerajaan tidak terjejas kerana selain mendapat bayaran gaji seperti biasa, disertakan pula bantuan tunai yang disediakan.

Itu jika kedua-dua suami isteri atau kesemua ahli  keluarga adalah kakitangan kerajaan bolehlah bacaan itu dijadikan rujukan.

Secara normal kebanyakan isi rumah di negara ini adalah kombinasi yang bekerja dengan kerajaan dengan sektor swasta.

Kebanyakan memilih sedemikian kerana sektor kerajaan memberi jaminan masa hadapan, manakala swasta menawarkan gaji yang lumayan.

Dalam situasi sekarang yang bekerja dengan swasta pasti akan terjejas, jika tidak segera, akan berdepan dengan situasi itu tidak berapa lama lagi apabila ekonomi semakin menguncup dan lembab.

Keadaan mencabar ini individu sangat memerlukan wang tunai yang cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Saya beri contoh sebuah keluarga dengan empat orang anak dan mempunyai ibu bapa berusia emas.

Dalam situasi begitu si isteri bekerja dengan kerajaan dikatakan tidak banyak terjejas, tetapi si suami yang bekerja dengan swasta pasti tidak dapat mengelakkannya.

Si suami pula sejak sekian lama memang menyara kedua ibu bapa yang sudah tua dan uzur.

Dalam situasi ini pastinya si isteri terpaksa turut membantu dari segi kewangan. Perbelanjaan besar kini adalah untuk menyediakan makanan kerana semua orang tidak dapat keluar ke mana-mana.

Cara yang mudah adalah membeli secara talian atau mengupah orang membeli barangan keperluan atau membeli makanan yang telah siap di masak.

Semua ini meningkat kos harian dalam meneruskan kelangsungan hidup. Bagi kakitangan kerajaan yang bergaji kecil mereka akan sangat terjejas dalam berdepan suasana tidak menentu.

Lagipun LPPSA berada di bawah Kementerian Kewangan tentulah tidak mempunyai masalah untuk menangguhkan dahulu pembayaran bulanan hutang pembelian rumah.

Sedangkan pihak bank sendiri boleh bertolak ansur memberi pengecualian untuk tempoh enam bulan.

Dalam keadaan lebih banyak berita menyediahkan, tidak salah rasanya LPPSA tampil membawa berita gembira dan bukan menyakitkan hati kakitangan awam dan ahli keluarga mereka.

Bukan kakitangan awam tidak akan membayar hutang tersebut, tetapi ditangguhkan sebentar sementara berlalunya keadaan yang murung ini.

LPPSA diharap lebih prihatin dan cakna dengan kakitangan kerajaan yang selama ini tidak pernah mungkir janji dalam menunaikan hutang dengan memberi pilihan.

Bagi yang mahu meneruskan bayaran boleh berbuat sedemikian seperti biasa dan bagi yang terdesak biarlah mereka memilih jalan untuk meringakan bebanan hidup pada situasi getir ini. – SM

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari LPPSA melalui https://etiket.lppsa.gov.my

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button