Loji pembekal ayam dari China, Thailand masih sah
KESEMUA 11 loji di Thailand dan China yang mengeksport produk ayam mereka ke Malaysia masih sah dan tidak seperti mana yang ditularkan oleh seorang pencemarah bebas di media sosial, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dalam satu kenyataan hari ini.
JPV dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya memandang serius video penceramah bebas berkenaan yang tular di media sosial mendakwa, loji ayam di Thailand dan China telah tamat tempoh dan tidak halal.
Menurut JPV, sembilan loji ayam yang diluluskan bagi mengeksport daging dan keratan ayam di Thailand dan dua di China yang disenaraikan di laman sesawang jabatan, masih sah untuk mengeksport produk itu ke Malaysia.
Menurut kenyataan yang sama, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand (The Central Islamic Council of Thailand) dan di China (Shandong Halal Certification Services) masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 31 Disember 2023.
“Senarai loji-loji di laman sesawang JPV dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.
“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.
JPV mengingatkan orang ramai supaya merujuk kepada pihak berkuasa veterinar untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan yang berkaitan kesahihan sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi. – SM