Logo dan tema Hari Kebangsaan itu cuma di peringkat PN, bukan Persekutuan!
Empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.
Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
“Logo ini adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri yang berada di bawah PN juga akan menggunakan tema sama, cuma saya tak boleh bercakap bagi pihak kerajaan negeri.
“Bagi Pemuda PN, kita akan cuba bertemu kerajaan negeri sebab mereka pasti ada persiapan masing-masing. Kalau belum terlewat, kita tidak menolak kemungkinan bertemu kerajaan negeri di bawah PN untuk guna tema dan logo yang sama (untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri),” katanya pada sidang media pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan Peringkat Pemuda PN di ibu pejabat PAS di sini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Selain itu, katanya, logo Malaysia MADANI diangkat menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023, yang memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.
Ditanya sama ada tindakan menggunakan logo serta tema berbeza itu dilihat sebagai tindakan PN mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan, Ahmad Fadhli yakin rakyat boleh menerima tindakan seperti itu.
“Rakyat boleh menerima tindakan seperti ini, yang dicerminkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bahawa rakyat menerima langkah politik daripada PN,” katanya.