Nasional

Lima peratus orang Kelantan masih degil langgar PKP

MESYUARAT Jawatankuasa Keselamatan Khas Kelantan mendapati tahap kepatuhan penduduk di Kelantan terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mencapai 95 hingga 96 peratus.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun penduduk sudah menunjukkan kepatuhan namun baki empat atau lima peratus yang masih ingkar itu merisaukan pihaknya.

Justeru, beliau amat berharap segelintir golongan terbabit dapat memberi sokongan kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19, sekali gus masyarakat dapat merasai berakhirnya penularan wabak itu.

“Di sini kita menyeru kepada masyarakat agar mematuhi arahan yang dikeluarkan khususnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah …meskipun Kota Bharu diisytiharkan sebagai kawasan merah namun dengan kepatuhan masyarakat, jumlah jangkitan akan berkurangan. Setakat ini hanya Machang diisytiharkan sebagai kawasan hijau,” katanya kepada pemberita di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, seramai 70 daripada 141 orang, atau 49 peratus yang didapati positif COVID-19 di Kelantan sudah berjaya dipulihkan.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan mengikut pendirian yang dibuat oleh kerajaan persekutuan berhubung operasi bazar Ramadan.

“Kita akan cuba ubah cara kita selama ini dan mungkin peniaga boleh mengubah dengan menerima tempahan secara dalam talian,” katanya. — BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button