Nasional

Lima daripada sembilan anggota JAC tidak lagi dibuat Perdana Menteri

MAJLIS Raja-Raja mencadangkan agar pelantikan lima daripada sembilan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri agar keanggotaan suruhanjaya itu lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.

Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, dari segi sistem kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia dan proses pelantikan hakim pada masa ini dilihat mempunyai kelemahan serta boleh diperbaiki termasuk keanggotaan JAC.

Baginda bertitah JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim. Justeru keanggotaannya kritikal dalam memastikan suruhanjaya itu terus menjadi amalan serta pegangan semua selain berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

“Sebaliknya ia (kuasa melantik keanggotaan JAC) diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan anggota keahlian dengan empat daripadanya merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya adalah individu yang dilantik oleh Perdana Menteri,” demikian menurut titah perutusan Tuanku Muhriz sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Tuanku Muhriz mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja dan Sultan negeri-negeri turut berkenan berangkat hadir pada mesyuarat itu, yang juga dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Selain ini, Majlis Raja-Raja turut mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada, badan-badan guaman serta institusi-institusi atau pihak berkepentingan lain yang relevan.

Baginda turut menzahirkan keyakinan jika penambahbaikan dilaksanakan, JAC mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah daripada kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil.

“Memetik dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, prinsip ini amat penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman, bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” titah Tuanku Muhriz. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button