NegeriRencah Hidup

Wanita generasi hari ini perlu bijak urus emosi

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah menasihatkan golongan wanita masa kini agar lebih bijak dalam menguruskan emosi dengan sentiasa berfikiran positif dan tenang.

Selain itu, titah Baginda, wanita juga perlu diberi pendedahan dan kesedaran berkaitan gejala ketidakseimbangan hormon yang memberi kesan kepada gaya hidup.

Baginda bertitah, bagi menjaga penampilan juga perlu memilih produk kosmetik kecantikan bersesuaian serta memerlukan pengawasan profesional kesihatan.

Titah Raja Muda lagi, sebagai usaha memartabatkan insan bernama wanita di mana jua persada dunia, penjagaan diri seseorang wanita sangatlah penting.

“Utamakan amalan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan yang sihat serta bersenam dan lakukan saringan kesihatan berkala,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk “Wanita Sihat, Anggun, Berkarisma” di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi anakanda kedua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail ke program sehari anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bersama-sama YTF itu disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari.

Tambah Raja Muda merangkap Penasihat DiRaja YTF, wanita yang sihat mempunyai nilai yang tinggi serta menjadi aset dalam meningkatkan produktiviti negara.

Baginda bertitah, usaha untuk memperkasa kesihatan wanita kini menjadi semakin mencabar.

“Ini kerana peranan wanita kini semakin meluas dengan pelbagai tanggungjawab sehingga boleh menjejaskan gaya hidup wanita dan meningkatkan risiko kepada penyakit kronik,” titah Baginda.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan pada sebelah petang oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF. – SM

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button