Sukan

Liga pelayaran secara maya yang pertama akan dianjurkan

SUKAN pelayaran Malaysia kini melangkah setapak lagi dengan penganjuran ‘UMT Terengganu e-Sailing League 2020’ yang akan berlangsung mulai Jun hingga Disember ini di platform rasmi pelayaran secara maya, ‘Virtual Regatta’.

Pengarah Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd. Hafizi Said berkata, liga pelayaran secara maya pertama di Malaysia itu mempunyai enam siri dan akan disertai 170 peserta termasuk dari Indonesia dan Brunei.

Mohd. Hafizi berkata, kebanyakan peserta terdiri daripada atlet kebangsaan yang akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan.

Peserta termasuk Khairulnizam Mohd Affendy, para peserta Sukan Malaysia (Sukma) dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam jurusan pelayaran.

“Sejak 2017 kita (UMT) menganjurkan kejohanan regatta (perlumbaan bot) iaitu Terengganu Monsoon  Challenge tetapi tahun ini, berikutan penularan COVID-19 dan normal baharu, kita cuba platform lain iaitu secara dalam talian.

“Ia merupakan peluang terbaik buat para atlet untuk terus berlatih kerana dalam alam maya juga mereka dapat merasai pengalaman seolah-olah pelayaran sebenar seperti terdapat kelajuan dan arah angin yang disimulasikan dalam permainan,” katanya.

Beliau menambah, atlet-atlet juga rindu untuk menyertai pertandingan.

Jadi, kata Mohd. Hafizi, kejohanan secara maya ini dapat mengembalikan semangat para peserta untuk bertanding kerana mereka juga akan bersaing dengan pesaing-pesaing yang sama sebelum ini,” katanya.

Siri pertama kejohanan yang dianjurkan oleh UMT dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Negeri Terengganu (TWSA) itu akan bermula pada Jumaat hingga Ahad ini (12-14 Jun).

“Peringkat akhir kejohanan pada Disember ini, kami bercadang untuk menghimpunkan peserta di satu lokasi bagi membolehkan mereka mempunyai kelebihan yang serupa seperti tahap kelajuan internet yang sama.

“Ia akan tetap berlangsung secara maya tetapi mereka akan dihimpunkan di satu kawasan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hafizi berharap penganjuran kejohanan secara maya ini akan diterima baik oleh semua pihak memandangkan bidang e-pelayaran masih dianggap baharu di Malaysia.

“Negara luar seperti Jerman dan Switzerland telah aktif dalam pertandingan e-pelayaran sejak beberapa tahun yang lepas, di Malaysia pula sebelum COVID-19 tiada ‘pushing factor’ untuk melakukan perkara yang sama.

“Jadi saya harap pertandingan ini dapat memberi pendedahan kepada pelbagai pihak termasuk atlet dan persatuan pelayaran untuk terus bergiat aktif dalam bidang e-pelayaran,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button