
Pelumba cilik M8 Malaysia cemerlang di Tokyo, sembilan mara ke final
KEJAYAAN luar biasa diraih oleh pasukan M8 Malaysia di RCS Runbike World Championship 2025 apabila sembilan pelumbanya berjaya melangkah ke Final A dan Final B. Prestasi ini menjadi bukti peningkatan ketara berbanding pencapaian mereka pada edisi sebelumnya.
Menurut Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli, usaha gigih yang ditunjukkan para pelumba membuahkan hasil yang amat membanggakan.
“Alhamdulillah, keputusan kali ini benar-benar memberi semangat baharu kepada pasukan. Jika tahun lalu di Jepun hanya seorang pelumba, Maleeq Dragster, berjaya mara ke final, kali ini kami menyaksikan peningkatan besar dengan lebih ramai pelumba menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya.
Acara ini berlangsung di Tokyo, Jepun, dari 17 hingga 19 Januari 2025. Maleeq Dragster, yang merupakan finalis tunggal Malaysia pada 2023, sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dunia dalam kategori lelaki 5 tahun.
“Sasaran kami adalah untuk Maleeq menjuarai perlumbaan kali ini. Namun, perlumbaan yang sukar menyebabkan dia terperangkap di permulaan dan sukar untuk segera ke hadapan. Walaupun begitu, kami tetap berpuas hati kerana dia masih mengekalkan kedudukan podium,” tambah Datuk Seri Wan Mohd Muzri.
Kejuaraan Dunia 2025 dimenangi oleh pelumba dari China, Tiangua, manakala Hong Yi (Taiwan) dan Ono Sota (Jepun) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Selain Maleeq, Mikael, abangnya, turut mencatat keputusan membanggakan apabila berada di tempat ke-14 dunia dalam kategori lelaki 7 tahun. Sementara itu, Mikayla menyumbang kejayaan manis buat pasukan dengan menduduki tempat kedua dalam kategori Open Girl – Challenge Cup.
Datuk Seri Wan Mohd Muzri turut memuji usaha pasukan jurulatih M8 yang terdiri daripada Coach Omar, Muhaimin, dan Khai. Beliau menyatakan bahawa pencapaian ini adalah hasil daripada corak latihan yang semakin efektif.
Sebagai langkah seterusnya, pasukan M8 Malaysia merancang untuk membawa jurulatih dari Jepun dan China ke Malaysia bagi memberikan latihan intensif kepada pelumba tempatan. Selain itu, juara dunia, Fuki dari Omalleyz x M8 Japan, akan diterbangkan ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran.
“Dengan persiapan dan latihan yang lebih mantap, kami yakin mampu membawa pulang gelaran juara dunia ke Malaysia pada tahun 2026, Insya-Allah,” katanya lagi.
Keputusan Penuh Pelumba M8 Malaysia di RCS Runbike World Championship 2025
- Maleeq – 4th (Kategori lelaki 5 tahun)
- Mikael – 14th (Kategori lelaki 7 tahun)
- Mikayla – 2nd (Open Girl – Challenge Cup)
- Raziq – 8th (Kategori lelaki 3 tahun)
- Izz Fast – 11th (Kategori lelaki 6 tahun)
- Amni Lateefa – 15th (Kategori perempuan 5 tahun)
- Hoorbint – 6th (Kategori perempuan 5 tahun – dibatalkan kerana masalah helmet)
- Dayyan Adam – 6th (Kategori lelaki 6 tahun)
- Ilyas – 8th (Kategori lelaki 2 tahun)
- Rafif – 5th (Challenge Cup – Final A)
- Ai The Destroyer – Separuh Akhir Final B (Kategori lelaki 3 tahun)
- Kenzie (M8 Indonesia) – 6th (Kategori lelaki 3 tahun)
- Neng Rara (M8 Indonesia) – 2nd (Kategori perempuan 6 tahun)
- Fayyadh – 5th (Kategori lelaki 8 tahun)