Nasional

Lesen percuma untuk penjaja selama setahun di Labuan

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan bersetuju menawarkan lesen percuma melalui Perbadanan Labuan kepada penjaja makanan di Labuan selama setahun, bermula bulan ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata insentif itu bertujuan menggalakkan golongan berpendapatan rendah meneruskan kelangsungan hidup terutama ketika berdepan pandemik COVID-19.

“Saya pasti, golongan berpendapatan rendah yang mata pencarian mereka bergantung kepada jualan makanan setiap hari telah terjejas teruk akibat sekatan pergerakan sebelum ini.

“Ini adalah sama seperti moratorium, tetapi insentif ini berbeza iaitu vendor tidak perlu membayar lesen selama setahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Annuar berkata lesen itu akan ditawarkan kepada penduduk tempatan sama ada mereka adalah suri rumah, orang muda atau sesiapa sahaja yang mahu memulakan perniagaan.

“Saya mahu penduduk tempatan mendapat manfaat segera daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan menambah baik kehidupan harian mereka.

“Saya memahami kos sara hidup yang tinggi di sini dan saya meminta Perbadanan Labuan untuk mengeluarkan lesen percuma selama setahun bermula bulan ini,” katanya.

Malam tadi, Annuar menghadiri sesi dialog dengan pelbagai dewan perniagaan di Wisma Perbadanan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman kata lesen percuma itu bagi penjaja yang berniaga di hadapan rumah atau dalam kawasan kampung. — BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button