Ekonomi

35,800 permohonan GKP diluluskan, bayaran dibuat akhir Jun

SEBANYAK 35,800 permohonan bagi Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro telah diluluskan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata semakan kelulusan boleh dibuat mulai hari ini dan bayaran akan dibuat pada akhir Jun.

Menurutnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini telah menerima sebanyak 81,260 permohonan dan tempoh rayuan masih dibuka sehingga 15 Jun melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my.

“Saya diberitahu LHDN bahawa antara sebab-sebab tidak lulus adalah salah isi borang – contohnya syarikat yang didaftar sebagai ‘sendirian berhad’ diisi sebagai ‘perkongsian’ dalam borang permohonan asal.

“Dalam portal rayuan, perayu boleh mengemukakan sijil syarikat yang berkenaan untuk pertimbangan lanjut LHDN. Saya berharap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini,” katanya menerusi perkongsian Laporan Kelapan Pencapaian Prihatin – Laksana di laman Facebook beliau, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah skim kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak 5,222 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan, bernilai RM191 juta, manakala di bawah program TEKUN Nasional pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 19,382, dengan nilai RM151 juta.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata setakat 5 Jun, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM7.5 bilion.

“Ini akan memanfaatkan 18,227 PKS. Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas dan Kemudahan Agromakanan,” katanya.

Bagi program Subsidi Upah, sebanyak RM4 bilion telah diluluskan kepada 293,033 majikan yang memanfaatkan 2.3 juta pekerja sehingga 5 Jun.

Ini adalah peningkatan jumlah yang diluluskan sebanyak RM780 juta untuk 100,000 pekerja berbanding dua minggu sebelumnya, katanya.

Sementara itu, seramai 202,000 pekerja telah diluluskan bersamaan dengan RM121 juta di bawah program Pengekalan Pekerja yang dikawal selia oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagi program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) KWSP, sebanyak 29,600 permohonan telah diterima dan hampir 6,500 permohonan diluluskan bernilai RM42.9 juta bagi caruman KWSP majikan sehingga 5 Jun berbanding RM34.8 juta minggu sebelumnya.- BERNAMA

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button