JenayahNasionalNegeri

Lelaki mengaku pecah rumah, mencuri dipenjara 58 bulan

SEORANG lelaki dihukum penjara berjumlah 58 bulan dan satu sebatan rotan oleh Mahkamah Majistret Kangar, setelah mengaku salah di atas tiga pertuduhan berkaitan kes pecah masuk rumah dan mencuri di tiga premis sekitar Kangar, September tahun lalu.

Bagaimanapun K. Krisna Mani, 43 dari Johor Bahru ini hanya menjalani hukuman penjara selama 40 bulan dan satu sebatan rotan apabila ada hukuman yang dijatuhkan diarah berjalan secara serentak.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret 2, Majistret Ana Roziana Mohd Nor memutuskan tertuduh dihukum penjara selama 28 bulan mulai tarikh ditangkap.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, bahawa tertuduh antara 21 September 2023, pada pukul lebih kurang 6 petang hingga 22 September 2023 pukul 8.30 pagi, di kedai TJ Motor, Lot 333, Pengkalan Asam, Kangar telah melakukan pecah masuk ke premis berkenaan dan telah mencuri sebuah motosikal jenama Honda RM150R warna biru/hitam milik Syarikat TJ Motor Enterprise.

Bagi pertuduhan kedua, pada mahkamah yang sama, Majistret Ana Rozana memutuskan tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan dan 1 kali sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan kedua, bahawa tertuduh pada tarikh 5 September 2023 pada pukul lebih kurang 10 malam sehingga 9 September 2023 pada pukul lebih kurang 9 pagi, di kedai nombor 290-292, Kiang Tayar, Jalan Kangar, Perlis telah melakukan pecah masuk ke dalam kedai berkenaan dan mencuri wang tunai RM200 dari milikan Tan Song Kian.

Kedua-dua pendakwaan ini dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nurul Atikah Ab Rashid.

Sementara itu di Mahkamah Majistret 1, Majistret Norshahida Abdul Rahim pula memutuskan tertuduh dihukum penjara selama 18 bulan.

Ia akan berjalan serentak dengan keputusan hukuman oleh Mahkamah Majistret 2.

Mengikut kertas pertuduhan ketiga, bahawa tertuduh pada 3 September 2023 pada pukul lebih kurang pukul 7 petang sehingga 4 September 2023 pada pukul lebih kurang 9.45 pagi di kedai UMobile di No 3-1, Jalan Kangar-Alor Setar, Taman Pertiwi Indah, Seriab, Kangar telah memecah masuk ke premis berkenaan dan mencuri sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan wang tunai RM100 dari milikan Syarikat E-Touch Technology Sdn Bhd.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Tengku Ruqqayah Tengku Shahrom.

Bagi ketiga pertuduhan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum dengan seksyen yang sama.

Ia membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai lima tahun dan juga boleh dikenakan denda dan jika kesalahan yang dimaksudkan hendaklah dilakukan itu ialah kesalahan mencuri maka tempoh penjara itu bolehlah dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali yang ke dua atau yang kemudian bolehlah juga dikenakan denda atau sebat. – SM

BACA Polis tahan remaja disyaki mencuri tabung masjid

BACA 11 tahun “mencuri air” akhirnya pemilik premis dipenjara 10 bulan

(Visited 56 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button