Nasionalpilihan

Lelaki lepaskan tembakan di KLIA berdepan tujuh pertuduhan

Lelaki yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 April lalu didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.
Dalam pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kot Bhatru, hari ini, tertuduh, Hafizul Hhawari, 38, mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, buatan Turki, menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 33 butir peluru PMC 380 auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama.
Kesalahan ini memperuntukkan maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam pula, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(O) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu kenderaan jenis Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau kedua duanya sekali.
Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam kenderaan Honda Civic di perkarangan Hospital Pakar Perdana KPJ di sini, jam 2 petang, 15 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – SM
(Visited 13 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button