Lelaki dakwa dirinya bunuh dan minum darah orang Acheh ditahan
POLIS menahan dua lelaki warga asing susulan video tular seorang lelaki yang mendakwa telah membunuh beberapa lelaki Indonesia (Acheh) dan meminum darah orang yang dibunuhnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pada 15 Februari lalu, pihaknya telah mengesan satu video yang disebarkan di dalam Whatsapp.
“Video tersebut memaparkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya telah membunuh beberapa orang lelaki Indonesia berbangsa Acheh dan telah meminum darah yang dibunuh.
“Subjek tersebut juga telah menyiarkan alamatnya dalam video tersebut.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadzil lagi, satu video juga telah tular kelmarin yang menunjukkan lelaki tersebut dipukul beberapa orang lelaki yang marah di atas kenyataannya.
Jelasnya, pihaknya juga menerima laporan polis yang mengatakan terdapat satu kejadian merusuh di Taman Selat Damai Pendamaran yang melibatkan beberapa lelaki Indonesia.
“Kita kemudian telah melancarkan gerakan mengesan semua suspek yang terlibat.
“Tangkapan pertama dibuat terhadap lelaki berusia 31 tahun yang membuat rakaman mendakwa dirinya telah membunuh pada 5.30 petang semalam di Tanjung Sepat, Selangor,” katanya.
Jelasnya, sehari sebelum itu, seorang lelaki Indonesia berusia 30an yang terlibat dengan kes merusuh di Klang Selatan juga telah ditahan.
Ujarnya, kedua-dua suspek yang ditahan tidak memiliku perjalanan yang sah.
Tambahnya, kedua-dua suspek akan direman pagi ini di Mahkamah Klang. -SM