MahkamahNasional

Lebih berat badan: Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan kehakiman oleh dua bekas kakitangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang dipecat kerana terlebih berat badan.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, bekas penyelia penerbangan, Ina Meliesa Hassim dan bekas kru kanan, Wan Amran Wan Bulat melepasi tempoh sepatutnya ketika memfailkan permohonan itu.

Menerusi keputusan disampaikan secara maya, beliau berkata, kedua-duanya gagal memberikan alasan munasabah atas kelewatan itu dan merit untuk kes mereka tidak relevan ketika ini.

Dua bekas kakitangan yang diwakili peguam Najib Zakaria itu mengemukakan alasan kelewatan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan penuh ketika penularan wabak Covid-19.

Bawah Peraturan Mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusanyang dibuat pihak berkuasa diberi tempoh tiga bulan untuk memfailkan permohonan semakan.

Mahkamah Perusahaan sebelum ini menolak tuntutan pemecatan secara tidak adil terhadap Ina pada 14 Februari dan Wan Amran pada 19 Februari lalu.

Mereka memfailkan permohonan itu sebulan selepas tamat tempoh tiga bulan yang diberikan.

Peguam Negara tidak membantah lanjutan masa dan permohonan itu.

Sebelum ini, MAB memulakan program untuk mengenal pasti kru penerbangan yang gagal mengekalkan tahap indeks jisim tubuh (BMI) mereka lalu dirujuk ke program pengurusan berat badan.

Tanpa membantah, Ina dan Wan Amran menjalani program itu bersama beberapa lagi kakitangan lain.

Ina tidak memenuhi syarat yang menetapkan berat badan 61kg dan Wan Imran juga mempunyai berat melebihi 79kg yang mengundang kepada pemecatan mereka pada September 2017.

Peguam Sebastian Tay dan Rebecca Sonali Alfred mewakili MAB dalam kes itu.

Najib memberitahu FMT bahawa beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk memfailkan rayuan. – SM

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button