Lebih 500 serbu gedung pakaian: Promosi ‘gila babi’ baju Melayu RM1
MENARIK perhatian pengunjung atau pembeli tidak perlu membodohkan diri dengan meletak harga promosi jualan baju Melayu RM1. Sudah tentu orang ramai akan menyerbu sebuah gedung pakaian yang membuat promosi “gila babi” ini.
Kelmarin, lebih 500 orang telah menyerbu gedung pakaian di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor gara-gara harga promosi RM1untuk sepasang baju Melayu.
Keadaan sesak itu telah menimbulkan ketegangan apabila ia menjadi di luar kawalan sehingga berlaku insiden tolak menolak sesama pembeli.
Memotong barisan untuk memilih baju Melayu pada ketika itu adalah suatu yang sepatutnya dapat dijangka oleh pemilik gedung menjual pakaian berkenaan.
Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, pemilik gedung berkenaan terpaksa menghubungi Polis untuk meredakan keadaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu lalu yang memaklumkan berlaku kekecohan di gedung pakaian berkenaan.
“Kita dimaklumkan kedai terbabit membuat promosi di mana 100 pelanggan pertama akan dapat membeli baju dengan harga serendah RM1.
“Manakala 50 pelanggan berikutnya pula akan dapat baju kurta yang diberi secara percuma.
“Dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi yang ditawarkan sehingga berlaku insiden tolak menolak dan kekecohan,” katanya.
Beliau berkata, atas faktor keselamatan yang tidak dapat mengawal kehadiran pelanggan yang terlalu ramai maka pihak pengurusan terpaksa menutup operasi kira-kira pukul 11.45 pagi.
“Setakat ini tiada sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan sebarang promosi terutamanya pada musim perayaan.
“Peniaga pula diingatkan supaya sentiasa peka dan elak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai. Kita tidak mahu kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya. – SM