Nasional

Lebih 400 keluarga terima manfaat program Kasih Ramadan MASTI

Bagi meraikan keberkatan bulan Ramadan, Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) telah menganjurkan Majlis Kasih Ramadan 2024 bersempena program Sahur Macam berbuka : Subuh Macam Jumaat bertempat di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Program berbentuk tanggungjawab sosial itu merupakan acara tahunan anjuran MASTI bagi menyantuni golongan yang memerlukan khususnya kumpulan B40.

Presiden MASTI, Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab berkata penganjuran Majlis Kasih Ramadan MASTI 2024 merupakan sebahagian daripada pengisian program kebajikan sempena Ihya’ Ramadan 2024.

“Alhamdulillah, penganjuran program kali ini berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM50,000 dengan kerjasama Universiti Malaya.

“Sumbangan dana yang diterima telah berjaya diagihkan kepada lebih 400 penerima yang terdiri daripada pelajar, golongan asnaf dan anak yatim.

Ujarnya yang juga Presiden Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (PERENTAS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), program itu juga sebagai usaha mewujudkan keharmonian selain merapatkan jurang ukhuwah dikalangan staf dan warga pelajar universiti.

“Program ini dapat memupuk nilai-nilai murni, kasih sayang dan kebajikan dalam kalangan komuniti universiti serta mengukuhkan lagi hubungan harmoni antara staf dan pelajar.

Antara sumbangan yang diberikan adalah berupa wang tunai bagi memenuhi keperluan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kelak”

Menurutnya, kutipan dana yang diagihkan pada kali ini antara jumlah yang tertinggi sejak program seumpamanya dilaksanakan tujuh tahun lalu.

“Kempen yang telah kita laksanakan saban tahun membuahkan hasil. Ia menunjukkan keprihatinan yang semakin tinggi dalam masyarakat untuk bersama-sama membantu meringankan beban golongan memerlukan.

“Terima kasih kepada persatuan-persatuan yang telah berjaya mengumpul dana seperti MASTI berjumlah RM10900, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UM (PEKERTI) berjumlah RM5000 dan Kesatuan Kakitangan Am UM (KKAUM) turut memberikan sumbangan kepada anak-anak staf bernilai RM10,000”.

Tambahnya, pelaksanaan program itu sebagai menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi
dalam usaha membantu komuniti setempat di samping memacu peranan NGO universiti melalui program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Turut hadir bagi memeriahkan program itu adalah Timbalan Naib Canselor HEPA UM, Profesor Dr Sabri Musa, Presiden PEKERTI, Mizra Hilmi Abu Bakar, Presiden KKAUM, Mazmir Mohd Amin dan Jawatankuasa Eksekutif persatuan masing-masing. – SM

(Visited 5 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button