Lebih 160,000 pemilih mengundi di Padang Serai, DUN Tioman hari ini
LEBIH Lebih 160,000 pemilih berdaftar akan memilih wakil rakyat masing-masing pada pilihan raya umum ke-15 (PRU) bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 132,955 pengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dijangka melaksanakan tanggungjawab mereka, lapor Bernama.
Sebanyak 46 pusat mengundi dan 230 saluran akan dibuka bagi proses pengundian di Parlimen Padang Serai manakala DUN Tioman pula membabitkan 17 pusat mengundi dan 52 saluran.
Pengundi disarankan mengenakan pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala individu yang positif Covid-19 boleh berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi maklumat lanjut.
Bagi pengundi di DUN Tioman, penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri.
Pengundian di kedua-dua kawasan terbabit sepatutnya diadakan pada 19 Nov namun terpaksa ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili Perikatan Nasional (PN).
Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov lepas.
Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Sofee Razak, C Sivaraajh (BN) Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).
Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Warisan, dan calon Bebas iaitu Sreanandha Rao.
Bagaimanapun, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen itu pada 2 Dis lepas.
DUN Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN tetapi namanya masih tertera di kertas undi. – SM