NasionalNegeri

Raja Muda lancar Kempen Nihayatul Am Pembayaran Zakat, Wakaf dan Sedekah MAIPs

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Kempen Nihayatul Am Pembayaran Zakat, Wakaf dan Sedekah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tahun 2022, petang semalam.

Simbolik pelancaran kempen tersebut kali ini berlangsung di Pulau Batu Layang yang terletak di perairan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis yang menjadi salah satu destinasi pelancongan terbaharu dan lokasi memancing di Perlis.

Menerusi kempen ini Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs menggalakkan masyarakat untuk terus menunaikan ibadah zakat, wakaf dan sedekah menjelang akhir tahun 2022 yang berbaki lebih kurang tiga minggu.

Raja Muda turut mengambil kesempatan menyeru masyarakat Islam segera menunaikan ibadah zakat dan wakaf, serta memberikan sumbangan untuk menyucikan harta tidak patuh syariah menerusi Tabung Bara’atuz-Zimmah (t-BAZ) MAIPs serta melalui pelbagai saluran yang disediakan oleh pihak MAIPs.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Tuanku Syed Faizuddin bersama-sama ketua-ketua jabatan yang lain menyeru kepada semua supaya rebutlah peluang yang masih ada untuk melaksanakan segera ibadah ini sebelum 2022 berakhir.

Tambah beliau lagi, orang ramai boleh membuat pembayaran mudah secara dalam talian (online) atau di kaunter zakat dan wakaf MAIPs ataupun melalui Amil zakat yang telah dilantik.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kutipan zakat, wakaf dan sedekah, dengan melayari laman web rasmi MAIPs di www.maips.gov.my.

Menyentuh mengenai Pulau Batu Layang pula, ia merupakan sebuah pulau kecil yang tiada penghuni dan terletak lebih kurang 20 minit dari persisiran pantai Kuala Sungai Baru.

Selain daripada itu jaraknya hanya 1.3 kilometer (km) dari persisiran pantai Kuala Perlis.

Menariknya pulau ini, ianya menjadi tumpuan ikan lumba-lumba di kawasan ini.

Punca utama tarikan ikan lumba-lumba berhijrah sementara di pulau ini kerana sumber makanan yang banyak seperti anak-anak ikan belanak, ikan kedera dan udang.

Selain daripada itu juga perubahan suhu air laut yang menjadi tumpuan ikan ini.

Pulau ini juga menjadi tumpuan pemancing selain daripada pemandangan yang sangat indah kerana dapat melihat matahari terbenam. – SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button