Nasional

Lebih 15,000 banjiri Program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia di Padang Terap

SAMBUTAN luar biasa diberi  oleh lebih 15,000 tetamu yang hadir di Program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia di Padang Terap, Kedah, hari ini.

Program tersebut anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Kerajaan Negeri Kedah serta warga penduduknya.

‘Kenuri’ Rakyat Kekuarga Malaysia berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, Kedah pagi tadi sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa teruja dengan penganjuran program ‘Kenuri’ Rakyat ini.


“Saya dimaklumkan penyediaan makanan untuk jamuan diadakan secara rewang atau gotong-royong oleh anak-anak jati Padang Terap.

“Syabas kerana amalan ini masih lagi menjadi satu tradisi di banyak kawasan di Daerah Padang Terap ini,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya.

Ismail Sabri turut memuji kesemua lapan Penghulu Mukim dan JPKK bertungkus-lumus melakukan menyediakan jamuan ‘Kenuri’ Rakyat bermula dengan menumbangkan 10 ekor lembu, melapah daging, menyediakan semua ramuan, memasak sehinggalah selesai juadah yang terhidang pada hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri turut melahirkan rasa gembira melihat pelbagai projek pembangunan di daerah Padang Terap berjaya meningkatkan keselesaan dan taraf hidup para penduduk.

Katanya, usaha berkenaan telah menampakkan hasil yang begitu membanggakan.

“Secara keseluruhan, Kerajaan melalui KPLB dan KEDA telah melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan mencecah hampir RM2 bilion di Kedah terutamanya kawasan luar bandar,” katanya sambil menambah, pada Februari lalu telah dirasmikan projek Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

Jelas Perdana Menteri, KRC merupakan sebuah projek berimpak tinggi nasional dan taman perindustrian berasaskan produk getah yang pertama dibangunkan di daerah Padang Terap, melibatkan keluasan tanah kira-kira 1,244 ekar dalam dua fasa pembangunan.

Beliau berkata, pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai agensi pelaksana, juga komited untuk terus menyumbang dan memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah amnya dan Daerah Padang Terap khususnya melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti KRC.

“Pembangunan ini telah berjaya menarik kemasukan pelaburan swasta berjumlah RM3.1 bilion dan mewujudkan sebanyak 830 peluang pekerjaan.

“Setakat ini, NCIA juga berjaya melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan bersepadu yang berteraskan rakyat di Padang Terap yang memberikan limpahan manfaat kepada seramai 2,236 ahli Keluarga Malaysia di daerah ini,” ujar beliau.

Selain melaksanakan projek pembangunan, Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyentuh tentang usaha Kerajaan melabur dalam pembangunan modal insan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa terutamanya di luar bandar.

Kata Ismail Sabri lagi, sebagai contoh, mengadakan 47 Taman Bimbingan KanakKanak dan 11 Taman Asuhan Kanak-kanak di Padang Terap.

“KEMAS turut menawarkan pelbagai kelas kemahiran seperti kelas komputer, jahitan, masakan dan bina insan yang memberi manfaat yang besar kepada golongan belia di daerah Padang Terap ini.

“Penyedia program pembangunan modal insan seperti MARA turut mengadakan pelbagai kursus kemahiran di sini melalui GIATMARA Padang Terap,” katanya.

Perdana Menteri mahu komuniti setempat mengambil peluang yang disediakan termasuk penyediaan akses pendidikan berkualiti di peringkat matrikulasi dan asasi melalui program menaik taraf infraktuktur orang kelainan upaya (OKU) di Kolej MARA Kuala Nerang.

Beliau berharap, dengan adanya program seperti ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membolehkan agensi-agensi berkaitan bersama-sama turun padang bagi mendekati rakyat. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button