LBS sertai cadangan kerjasama pembangunan sistem transit aliran ringan di Johor Bahru
LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini mengumumkan kerjasama melalui perjanjian utama (“HOA”) yang dimeterai dengan Nylex (Malaysia) Berhad (Nylex), pemegang saham Sinar Bina Infra Sdn. Bhd. (“SBI”) iaitu, BTS
Group Holdings Public Company Limited (BTS) dan Ancom Berhad (“Ancom”) untuk membina dan mengendalikan sistem transit aliran ringan (“Projek LRT”) dengan pembangunan hartanah bersepadu berdasarkan konsep “Pembangunan Berorientasikan Transit” di wilayah metropolitan Johor Bahru.
LBS dan SBI mempunyai bank tanah strategik di kawasan tertentu di Johor Bahru manakala BTS ialah syarikat tersenarai awam di Thailand dan pemegang saham majoriti bagi Bangkok Mass Transit System PCL, iaitu pengendali BTS Skytrain dan Bangkok BRT.
Menurut HOA, LBS akan menyediakan hartanah di kawasan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dipersetujui bersama dengan mengambil kira penilaian yang bakal dilakukan oleh penilai bebas, bagi tujuan Projek LRT. Sebagai pertukaran,
LBS akan menerima saham Nylex pada harga RM0.15 sesaham dan LBS atau mana-mana anak syarikatnya akan menjadi kontraktor utama bagi pembangunan berkaitan.
HOA tertakluk kepada keputusan kajian yang akan dijalankan oleh BTS dan perunding profesional, pemberian konsesi Projek LRT oleh kerajaan negeri Johor kepada SBI serta menandatangani perjanjian muktamad bagi projek tersebut.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “Kerjasama yang berpotensi ini memberi peluang untuk kami memberi nilai tambah yang sewajarnya ke atas tanah-tanah kami di Johor di samping meningkatkan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan sertai mengatasi projek perumahan yang biasa dibangunkan.
“Kami menjangka untuk menjana pendapatan melalui pembinaan infrastruktur dan pendapatan berulang yang stabil melalui projek ini. Wilayah metropolitan Johor Bahru semakin membangun dan, kesinambungan merupakan elemen yang penting bagi pertumbuhannya. Tambahan pula, tanah-tanah kami ini terletak di lokasi yang strategik.
“Kami menjangkakan projek ini akan menjadi pembangunan yang berdaya maju di samping melancarkan pengangkutan dan akses di kalangan masyarakat setempat.
“Selain dari itu, kami gembira dapat bekerjasama dengan golongan profesional yang berpengalaman dan berkemahiran teknikal serta berpengetahuan luas untuk membantu kami di dalam projek ini. Kami akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian ini dan berkongsi sebarang maklumat sebagai tambahan kepada terma dan syarat perjanjian tersebut.” – SM