Berita

Latheefa Koya langgar prinsip kedaulatan undang-undang – Peguam

PEGUAM Haniff Khatri Abdulla kesal dan sedih dengan tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya melanggar prinsip kedaulatan undang-undang yang wajib tidak dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa seperti SPRM.

Haniff Khatri berkata, tindakan pendedahan kandungan sembilan rakaman audio panggilan telefon kepada orang awam tidak seharusnya dilakukan kerana ia belum disiasat oleh polis.

“Dalam erti kata lain, secara penuh hormat kepada Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya dan pegawai-pegawai SPRM lain, dan dengan penuh kekesalan dan kesedihan, saya nyatakan bahawa tindakan pendedahan kandungan 9 “rakaman audio panggilan telefon” kepada orang awam pada 08.01.2020 adalah kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) yang sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali,” katanya.

Sebaiknya, kata beliau Latheefa Koya sebaik menerima rakaman audio panggilan telefon selepas tahun baru 2020, beliau sepatutnya mengarahkan pegawai SPRM berkenaan dengan serta-merta membuat laporan polis dan menyerahkan kesemua bahan yang mengandungi sejumlah 9 “rakaman audio panggilan telefon” untuk siasatan lanjut.

Tindakan itu perlu diambil katanya, kerana kandungan rakaman itu kemungkinan wujud bentuk jenayah lain di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM.

“Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan, kerana ianya boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau. sesebuah negara yang idamkan ketelusan, keadilan dan kesejahteraan sebenar, wajib berpegang teguh kepada prinsip ini dalam segenap bidang tadbir urus negara sama ada di tahap tertinggi mahupun dalam kalangan rakyat biasa, dan sekiranya tidak, masyarakat terbabit boleh sahaja ucapkan “selamat tinggal” kepada impian dan hasrat untuk menjadi sebuah negara yang sebenar-benarnya bertaraf maju.

“Harapan setiap rakyat yang jujur di era Malaysia Baharu selepas pada tarikh keramat 09.05.2018, sememangnya adalah untuk melihat negara kita dipimpin ke landasan ketelusan, keadilan dan kesejahteraan melalui amalan tegas prinsip Kedaulatan Undang-Undang ini.

“Hatta, rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguatkuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip Kedaulatan Undang-Undang ini agar segenap lapisan masyarakat lain seperti para pemimpin politik, pihak korporat, pengamal profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu.

“Namun, malangnya pada hari Rabu, 08.01.2020, melalui satu sidang akhbar yang disiarkan melalui video berdurasi 1 jam 13 minit dan 16 saat, dengan penuh dukacita saya nyatakan di sini, bahawa pihak SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya telah mendedahkan kepada awam secara salah akan butiran perkara dan bahan siasatan baru (segar) secara menyalahi prinsip Kedaulatan Undang-Undang,” jelas Haniff Khatri.

 

 

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button