Nasional

Laporan pengecaman wajah lelaki dalam video dikaitkan menteri dalam masa terdekat

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mendapatkan kepakaran Amerika Syarikat dalam siasatan berhubung video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata pasukannya telah pergi ke Amerika Syarikat dan menyerahkan rakaman video berkenaan baru-baru ini.

“Pasukan siasatan saya telah ke sana (Amerika Syarikat) dan telah pulang. Laporan analisis berhubung ketulenan video dan pengecaman wajah itu dijangka diberi kepada PDRM dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

“Sebelum hujung tahun ini kami akan memperoleh laporan berkenaan, saya sangat pasti,” tambahnya.

Huzir seterusnya berkata pakar berkenaan mempunyai pengalaman memberi keterangan di mahkamah.

“Jika sudah sampai ke peringkat perbicaraan, mungkin pakar ini akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah,” katanya.

Mengenai tindakan ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang dilapor mendapatkan pandangan pakar luar negara mengenai video itu, Huzir berkata polis telah mengambil keterangan Lokman berhubung perkara itu.

“Kami sudah panggil Lokman berhubung tindakannya bawa video itu ke pakar luar negara, kami juga sudah kesan bahawa laporan itu ditularkan di media sosial,” katanya sambil menambah pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata polis akan memanggil 14 individu bagi membantu siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, termasuk rakan setugas mendiang dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, mereka termasuk individu yang pernah dipanggil sebelum ini.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di lokasi itu. – BERNAMA

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button