Politik

Laporan macam radio buruk, kena ubah!

Perhimpunan Agung UMNO 2021

MALAM ni baru meriah World Trade Centre, Kuala Lumpur dengan limpahan manusia memakai baju berwarna putih dan merah. Golongan hawa juga memakai warna yang sama dengan lelaki dan mereka akan menunggu ketibaan pemimpin-pemimpin parti untuk sama-sama dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang bermula hari ini.

Kenapa PAU 2021 sedangkan ini tahun 2022? Jangan pening, tak perlu nak kelirukan diri sendiri kerana tahun lepas, sepatutnya berlangsung PAU tetapi terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19.

Jadi, apabila ditunda, sejurus selepas diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, Sabtu lalu, maka hari ini diadakan PAU 2021.

Tak percaya PAU 2021? Tengok banner yang dipasang di tiang-tiang lampu di jalan raya menuju ke World Trade Centre, Kuala Lumpur.

World Trade Center nama baharu diberi kepada Pusat Dagangan Dunia Putra atau PWTC yang telah sinonim dengan pakcik-pakcik, makcik-makcik yang datang dari kampung untuk berhimpun setiap kali diadakan PAU.

Sekarang apabila sudah ditukar nama, rasanya lidah pakcik makcik nak menyebut WORLD TRADE CENTRE tersentil keluar ikut celah gigi yang dah rongak.

Tapi tak mengapa kerana itu bukan isu utama yang akan menjadi perdebatan para perwakilan yang hadir ke World Trade Centre. Isu-isu lain yang akan dibangkitkan. Cuma jangan seronok menang pilihan raya negeri sebab rakyat memerhati, akar umbi memerhati.

World Trade Centre di sinilah bangunan yang sangat sinonim, umpama darah daging bagi ahli-ahli UMNO dan kalau setakat membuat liputan tapi tidak turun padang hari ini untuk menyaksikan sendiri, padang jarak padang terkukur, tidak semeriah PAU yang telah lalu, boleh aje lakarkan pandangan dari kacamata peribadi.

Turunlah, tengoklah hari ini, sekarang, siang hari apa yang ada di World Trade Centre.

PAU tahun 2010 sangat meriah. Sangat penuh dan santak dengan lautan manusia. Memanglah waktu itu tiada ada pandemik Covid-19.

PAU 2010 media arus perdana dijulang bagai nak rak. Wartawan terpilih sahaja yang akan membuat liputan kerana gah disebabkan dapat bergambar dengan Presiden UMNO ketika itu.

Kerja? Kuli-kuli yang buat, bukan wartawan ‘blue eye’ yang kena kejar si polan ketua perwakilan, si diatu ketua bahagian. Wanita, Puteri, Pemuda sebutlah sahaja, wartawan kategori ‘kuli-kuli’ lah yang kena kejar dan dapatkan kenyataan.

Itu senario yang bos-bos tak akan mengaku ketika di zaman kegemilangan media-media arus perdana yang membuat liputan PAU 2010.

Hari ini, PAU 2021 (PAU yang ditunda tahun lepas) sayugia diingatkan, akan happening pada sebelah malam. Siang ni, muka-muka lintah, biawak hidup tak kelihatan. Perkarangan depan pentas utama tingkat 2 World Trade Centre yang menjadi tempat duduk atas lantai para pemerhati yang datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas-bas persiaran yang disewa khas, tidak kelihatan.

Yang ada ialah barisan kerusi. Wah! Sudah upgrade. Tidak lagi duduk atas lantai yang sejuk. Oh! Disebabkan pandemik Covid-19 maka SOP perlu dijaga. Itulah sebab disediakan kerusi, tidak lagi duduk di atas lantai.

Tempat kegemaran penulis ialah Riverside, walaupun harga makanan dan minuman di sini ialah harga kayangan sejak azali. Apa ada hal asalkan ada meja, kerusi, soket untuk komputer riba yang boleh diangkut ke mana sahaja.

Menuju ke kaunter pendaftaran untuk bertanyakan aturcara sepanjang PAU 2021 sehingga 19 Mac ini, bersamaan dengan hari Sabtu, jawapan yang diberi ialah, “Nanti pukul 5 petang boleh ke bilik media untuk pendaftaran. Kat situ boleh minta….”

Old school. Setakat nak minta secara fizikal aturcara PAU pun nak kena tunggu sebelah petang. Tak mengapa, ada yang dah sedekahkan aturcara PAU 2021 oleh rakan media yang bukan sama lantai.

Spekulasi apa yang akan diperkatakan dalam perhimpunan sayap-sayap UMNO, perkara biasa, persoalan biasa seperti agama, ekonomi, pendidikan.

Mungkin kali ini dimasukkan juga persoalan kenapa Datuk Hasni Mohamad tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor? Kenapa Datuk Onn Hariz Ghazi, sepupu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai MB Johor, orang muda, idea muda… Dan bila PILIHAN RAYA UMUM KE-15 (PRU15) nak buat?

Yang ikut rapat politik dan UMNO, Presiden parti bukan Perdana Menteri dan Perdana Menteri ialah Naib Presiden parti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button