Nasional

Lapan individu mengaku bersalah langgar PKP

LAPAN individu termasuk seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Yan, Kedah pada 11 dan 15 April lalu.

Kesemua tertuduh berusia 20 hingga 56 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, tujuh tertuduh didakwa berkumpul di ruang tamu sebuah rumah dialamat No. 247, Kampung Belakang Masjid Guar Chempedak, dekat Yan, pada  jam10 malam, 15 April lalu.

Mohd Zatil Fauzan Md Khatib Sarbini@Sardini, 23; Muhammad Luqman Hakimi Zaini, 23; Mohd Amirul Faiz Hussin, 26; Muhammad Izzat Muhad Nasziri, 22; dan Nur Farah Aisyah Ahmad Maricar, 21, kemudiannya dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara 14 hari.

Hukuman terhadap dua lagi tertuduh, Khairul Anuar Mohd Nasir dan Muhammad Faizal Ahmad yang berusia 20 tahun belum diputuskan kerana menunggu Laporan Sosial Pesalah Muda (tertuduh di bawah umur 21 tahun).

Mahkamah membenarkan kedua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sebelum sebutan semula kes pada 18 Mei ini.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 3) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Ismail Ishak, 56, dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan selepas didapati bersalah bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu di sebuah rumah di Kampung Dulang Kechil, Yan, ke jalan ban tepi sungai, Taman Awana dekat Yan, pada jam 8 malam, 11 April lepas.

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 2) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) peraturan yang sama.

Selain itu, Ismail turut berhadapan satu lagi tuduhan berkaitan dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan bagi tuduhan itu mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Waheda Abd Rahman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Masniah Dollah. – BERNAMA

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button