Nasional

Langkawi: Tun M gembira, cadangkan jumlah penumpang pesawat, feri dikurang

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad berpuas hati dengan perkembangan gelembung pelancongan di pulau peranginan tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan pembukaan pulau tersebut kepada pelancong akan menggerakkan semula ekonomi penduduk setelah berbulan pulau ini ditutup.

Menurut Dr. Mahathir sejak aktiviti pelancongan dibenarkan sebanyak 14 kali penerbangan masuk dan tiga kali perjalanan feri dijadual ke pulau itu.

Bagaimanapun Dr. Mahathir mencadangkan agar jumlah penumpang yang menaiki pesawat dan feri dikurang untuk membolehkan jarak fizikal dilakukan sekaligus berlaku pematuhan prosedur operasi standard.

“Jika tidak penumpang akan duduk berdekat dan jangkitan mudah berlaku sungguhpun adanya ujian saringan sebelum masuk.

“Jarak satu meter ini perlu dipastikan bukan sahaja dalam pesawat atau feri, ini termasuklah semasa berbaris di terminal.

“Sebaiknya SOP ialah satu meter tiap seorang. Kita perlu ikut saranan itu. Pengurangan penumpang dalam pesawat atau feri boleh ditampung dengan penambahan kekerapan perjalanan masuk/keluar ke sini,” kata Dr. Mahathir yang kini berada di Pulau Langkawi.

Beliau telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin Abdul Muttalib mengenai perkembangan gelembung pelancongan di pulau tersebut.

Tambah Dr. Mahathir, penduduk dan pelancong perlu saling bertanggungjawab untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan.

Dr. Mahathir memberi amaran, jika program gelembung pelancongan tersebut gagal ia akan beri kesan negatif kepada industri pelancongan di Langkawi.

“Semestinya saya gembira lihat pulau ini kembali ceria, namun semua yang datang dan tinggal di sini perlulah patuh SOP pencegahan COVID-19.

“Dalam taklimat bersama LADA, saya dimaklum sudah ada negara luar seperti Singapura, Rusia dan Poland memohon masuk melalui charter flight.

“Sebelum kita terima, kita perlu pastikan kejayaan pelancongan domestik terlebih dahulu. Kesiapsiagaan sistem kesihatan amat penting dalam menghadapi penularan luar jangka.

“Saya ingin ucap terima kasih dan selamat datang kepada semua pelawat yang memilih Langkawi sebagai tempat bercuti,” kata Dr. Mahathir.

Melalui Pulau Langkawi menjadi perintis kepada program gelembung pelancongan dan dibuka kepada pengunjung luar bermula 16 September lalu.

Beberapa syarat ketat diwajibkan kepada pelancong termasuk telah lengkap menerima vaksin bagi mereka yang berusia tujuh tahun ke atas serta perlu membuat ujian Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke pulau peranginan itu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button