Politik

Lagu Negaraku di dalam bahasa Mandarin, cubaan ubah Perlembagaan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa cukup kecewa dan amat kesal dengan penularan video beberapa orang murid di dalam bilik darjah yang menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin.

Katanya, ia benar-benar satu tindakan melampau kerana mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Lagu Negaraku tidak boleh sama sekali diubah kerana ia telah diwartakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.

“Tidak ada negara di dalam dunia yang menukar bahasa lagu kebangsaan. Singapura mempunyai lagu kebangsaan dalam Bahasa Melayu sejak dari awal penubuhan kerajaan Singapura, walaupun perubahan dan pemodenan berlaku di Singapura namun lagu kebangsaan Singapura tetap kekal dalam Bahasa Melayu dan tidak dialih bahasa ke dalam Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Mandarin.

“Perbuatan alih bahasa lagu kebangsaan ini merupakan satu usaha yang biadap, dimana saya percaya ia dilakukan sekumpulan yang cuba mencabar pelembagaan negara dengan niat, serta mempergunakan murid sekolah yang tidak bersalah.

“Yang menyedihkan dan mengecewakan, kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang tidak masuk akal kerana mengatakan lagu Negaraku dinyanyikan oleh pelajar supaya pelajar tersebut lebih memahami lagu tersebut sedangkan semua pelajar walau apa kaum pun sebagai rakyat Malaysia mesti faham Bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ini bukan kali pertama perbuatan biadap melibatkan Kementerian Pendidikan seliaan Maszlee. Sebelum ini tulisan jawi dihina oleh kumpulan chauvinist pro DAP hingga terdapatnya pemberontakan kecil pada papan tanda, banner, bunting yang membantah jawi di beberapa sekolah vernakular.

Maszlee juga berdiam diri dalam isu komik ideologi komunis yang diedarkan di sekolah biarpun buku tersebut ‘diterima secara rasmi’ oleh Timbalannya Teo Nie Ching. Pelik dan ironi Maszlee langsung tidak tahu menahu idealogi komunis bertebaran di sekolah-sekolah di Malaysia.

“Kejadian-kejadian yang tidak pernah berlaku di zaman kerajaan BN kini berlaku satu persatu di bawah kerajaan PH kini. Bendera terbalik, bendera Malaysia berbintang 5 seperti bendera komunis. Bendera Malaysia di warnakan hitam. Tidak berdiri sewaktu lagu Negaraku dimainkan. Abu mayat chin peng pengganas komunis di bawa balik dengan sambutan. Perhimpunan bekas anggota komunis. Berbagai-bagai perlakuan tidak patriotik terus berlaku. Tiada tindakan tegas, jawapan klise ‘akan disiasat.’

“Apakah ini menunjukkan ketidakmampuan kerajaan di dalam menjaga keselamatan negara? Provokasi demi provokasi dibimbangi akan menimbulkan ketegangan yg akhirnya boleh menghancurkan negara. Kita berharap kerajaan tegas menghentikan provokasi-provokasi seperti ini,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Noraini Ahmad pula membidas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberi alasan video nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku dalam bahasa Mandarin adalah bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu itu.

Jelas beliau, sekiranya ingin memberi maksud, seharusnya bahasa Melayu yang diajar dengan lebih lanjut dan bukannya lagi Negaraku dialih kepada Bahasa Mandarin kerana bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu.

“Sekiranya anak-anak di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan maka sesuatu harus dilakukan bagi mengatasi masalah ini dan bukannya mengambil jalan mudah seperti menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa lain.

“Baik sekolah jenis kebangsaan atau sekolah agama sekalipun, penekananan bahasa Melayu harus diutamakan dan bukannya hanya memberi penekanan kepada bahasa ibunda. Tidak salah mengagungkan bahasa ibunda tetapi bukan bererti ia bahasa ibunda dilebihkan daripada bahasa kebangsaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noraini, lagu Kebangsaan adalah lambang kedaulatan negara. Jika kedaulatan negara sudah tidak lagi dihormati maka apa lagi yang mahu kita pupuk di jiwa anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin masa depan ini.

Justeru, Wanita UMNO mendesak agar KPM menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas kerana ini bukan perkara yang boleh dianggap mudah.

Untuk rekod, Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Semalam tular video berdurasi 1.22 minit di mana kelihatan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa mandarin secara beramai-ramai di dalam kelas tetapi tidak diketahui lokasi dan bila rakaman itu dibuat.

Akibat daripada itu, media sosial dihujani dengan komen netizen tanpa mengira agama dan bangsa menyelar tindakan sekolah tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button