Nasional

Malaysia, Vietnam wajar ada kerjasama pertahanan dan hubungan antarabangsa

MALAYSIA dan Vietnam sewajarnya menyaksikan kerjasama pertahanan dan hubungan antarabangsa yang lebih rapat serta semakin baik bagi berhadapan cabaran mendatang.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata kedua-dua negara tersebut adalah ‘kuasa tengah yang beraspirasi’ dengan misi penting pada tahun 2020 dengan Malaysia bakal menganjurkan sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) manakala Vietnam mempengerusikan ASEAN, selain dilantik menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Menteri Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan Liew itu dibuat ketika berucap di Persidangan Majlis Kerjasama Keselamatan di Asia Pasifik (CSCAP) ke-12 di Hanoi, Vietnam pada Khamis.

“Peranan ASEAN ialah bagi membawa Amerikat Syarikat dan China kembali ke tengah dan mengelak daripada melebarnya jurang antara kuasa-kuasa besar.”

“Sementara ASEAN telah mengambil maklum bahawa Amerika Syarikat telah memilih untuk melihat China sebagai pesaing strategik, ASEAN mestilah secara aktif mengusahakan keamanan, serta memastikan kedua-dua kuasa besar tidak tersalah perhitungan, dan membantu China untuk memahami rantau ini dengan lebih baik, justeru tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara kecil di rantau ini,” katanya.

Liew turut mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya Naib Menteri Pertahanan Nasional dan Ketua Staf Umum Leftenan Jeneral Phan Van Giang serta mengucapkan tahniah di atas ulangtahun ke-75 pembentukan Vietnam People’s Army serta bertukar pandangan tentang situasi keselamatan serantau.

Dalam lawatan sehari itu juga, Liew turut bertemu pemikir-pemikir pertahanan Vietnam di Institut Hubungan Antarabangsa Pertahanan (IDIR), Kementerian Pertahanan. – BERNAMA

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button