Nasional

KWSP nafi dakwaan krisis tunai, pinda Akta 1991

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan dakwaan tersebar mengenai krisis tunai dihadapinya, selain menyangkal bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan.

Dalam kenyataannya, dana persaraan itu berkata, ia sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.

Katanya, segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut peruntukan aset strategiknya.

“Langkah itu bukan untuk membayar pengeluaran pra-persaraan. Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun lepas, walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19.

“Selain itu, KWSP juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka,” katanya lagi.

rizab
Bank Negara Malaysia

KWSP mengeluarkan kenyataan bagi menafikan spekulasi tersebar melalui WhatsApp merujuk kepada rencana akhbar antarabangsa bertarikh 7 April yang bertajuk “Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon”.

“Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara (BNM) adalah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda,” katanya.

Menurut BNM dalam laporannya, simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55 dan ia menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan wabak.

Laporan itu selanjutnya menyatakan rata-rata rakyat akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050, katanya.

Selain itu, golongan milenial dalam lingkungan umur 26-40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara kerana ramai berhadapan kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.

“Pengeluaran khas berkaitan wabak juga telah menyebabkan pengurangan signifikan dalam jumlah simpanan persaraan ahli,” jelas KWSP.

Sehingga Mac 2023, 70.5% daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18-55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur.

Manakala 3.1 juta atau 39% ahli yang membuat pengeluaran khas dan berusia bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.

Justeru tahap simpanan mereka kekal rendah dengan median simpanan sebanyak RM890.

“Keutamaan kami dalam perkara ini adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluas perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.

“KWSP juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik,” katanya.

Dana persaraan turut menyarankan ahli agar hanya merujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, bukannya spekulasi melalui media sosial. – SM

BACA KWSP umum dua fasa pinjaman peribadi Akaun 2, Fasa 1 bermula 7 April

BACA Kerajaan tak amalkan pendekatan populis keluar KWSP-Rafizi Ramli

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button