Kurung songket akan diperkenalkan di mata dunia, untuk acara Sukan Olimpik 2024
BAJU rasmi kontinjen Malaysia akan diperkenalkan di mata dunia sempena pembukaan temasya Olimpik Paris 2024 ia merupakan hasil rekaan pereka fesyen terkenal iaitu Rizman Ruzaini bertemakan Manis dan Sopan.
Menggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita manakala atlet lelaki akan memakai baju Melayu Teluk Belanga dengan rona hijau zaitun.
Menurut dua pereka ini, koleksi The Malaya merupakan tanda dedikasi dan aspirasi buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuah Antah, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
‘’Kami memilih warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kilauan keemasan.
“Kilauan keemasan itu simbolik harapan kepada atlet kita membawa pulang pingat emas untuk negara.
“Rekaan itu juga seperti melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan diikat dengan emas yang dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna,” katanya.
Dengan sosok tubuh tegap atlet, kedua-dua pereka ini berkata ia memberikan kesempurnaan serta menyerlahkan sisi sopan dan klasik pemakainya.
“Rekaan yang menyerlahkan gaya pemakai sopan dan klasik ini, akan membuatkan ramai terpaku.
“Kami yakin transformasi yang akan menjadi kenangan manis untuk kami juga sebagai pereka busana untuk atlet kebanggaan negara,” katanya.
Katanya, dengan meletakkan songket sebagai motif utama, ia meletakkan kedudukan atlet di tempat yang tinggi tanda penghargaan perjuangan mereka membawa pulang pingat kemenangan.
“Jadi kami ketengahkan cetakan motif songket di tengah busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka.
“Ia kerana songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik, warisan agung turun temurun.
“Kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket memaparkan kedudukan dan pangkat golongan bangsawan,” kata mereka lagi.
Di samping itu, menurut pereka duo ini, rekaan skaf pula mengetengahkan ciri yang mewakili semangat patriotik mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Motif pada skaf ini menonjolkan nukilan khas tentang Malaysia. Ia dapat dilihat menerusi tarikh kemerdekaan, hari kebangsaan, tekad perpaduan yang memenuhi harapan negaraku Malaysia dan kemerdekaan negara.
Kedua-dua pereka fesyen ini menginspirasi rekaan busana persalinan baju kurung bercorak songket dengan kelubung untuk wanita serta baju Melayu Teluk Belanga untuk lelaki.
Artikle Berkaitan :>
Rizman Ruzaini Raya 2024 Couture & Capsule Collection, Helaian Mewah Sempurna Syawal
MOM perkenal pakaian rasmi baharu ke Olimpik, nampak lebih garang