Berita

Kukuhkan kepimpinan, karamah insaniah dalam diri pelajar – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Setiap pelajar perlu mempunyai nilai-nilai kepimpinan dan karamah insaniah dalam usaha untuk membangunkan potensi diri masing-masing agar bakat cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum dapat dipupuk dan dipertingkatkan’.

Baginda bertitah, ‘Murid-murid juga perlu mempunyai elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam diri selari dengan situasi pendidikan yang semakin mencabar tanpa limitasi. Pegangan agama yang teguh memainkan peranan yang besar dalam membentuk pemikiran dan pandangan dalam menjalani kehidupan yang didasari dengan ajaran yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah agar kekal berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar setiap murid sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan akademik di samping menunjukkan disiplin dan sikap berhemah tinggi pada setiap masa dan mengamalkan sikap terpuji baik di sekolah mahupun di luar sekolah sekali gus menjadi pemangkin kemajuan negara.

Demikitan titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi, Simpang Empat yang melibatkan seramai 473 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengetua SMK Syed Saffi, Mohd Shukor Yaacob.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SMK Syed Saffi telah mencapai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang lebih baik  kerana peratus tertinggi murid layak mendapat sijil dengan GPS sebanyak 5.92 pada 2022  berbanding 6.05 pada tahun 2021.

Sekolah ini juga telah dinobatkan sebagai Johan negeri seterusnya mewakili Perlis ke peringkat Kebangsaan dalam Karnival Bahasa Melayu KPM SPRM tahun 2023 dan merangkul Naib Johan Young Innovators Challenge “Maker Faire” peringkat negeri, Anugerah Khas Young Steamist Expo 2023 dalam Program My Digital Maker.

Anas Aiman Anuar telah mengharumkan nama sekolah dan negara apabila telah mewakili Malaysia ke 2024 World Canoe Polo Championship di negara China. Muhammad Azzim Imran Fazil pula dianugerahkan Ikon Murid Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) sempena Majlis Duta peringkat Negeri Perlis 2023 dan Amir Ashraf Ruzi sebagai Junior Emcee Majlis Duta Peringkat Negeri Perlis 2023.

Pelajar Pendidikan Khas juga turut cemerlang apabila merangkul Naib Johan Peragaan Pakaian (Sindrom Down Menengah) dalam Karnival Kokurikulum Pendidikan Khas Negeri Perlis 2023 dan Naib Johan Rejam Lembing perempuan dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Negeri Perlis 2023.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meluangkan masa untuk menyempurnakan perasmian Bengkel Refleksologi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang melibatkan pelajar kurang upaya mendalami dan mempelajari ilmu refleksologi. Pasukan Pengakap sekolah turut mengadakan demonstrasi pelbagai jenis ikatan termasuklah ikatan persahabatan sambil disaksikan oleh Duli-Duli Tuanku sempena majlis tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button