Berita

Kuasai kemahiran insaniah dan ilmiah – Raja Muda Perlis

LIMA di antara jenis kemahiran yang amat diperlukan oleh syarikat-syarikat utama dunia pada tahun 2020 ini mengikut ‘Linked In Learning’ dalam aspek ‘Kemahiran Insaniah (Soft Skills)’ adalah kreativiti, pemujukan (persuasion), kerjasama, keupayaan menyesuaikan diri (adaptability) dan juga kecerdasan emosi (emotional intelligence).

Sementara itu, sepuluh jenis ‘Kemahiran Ilmiah (Hard Skills)’ yang dicari pula adalah ‘Blockchain’, pengkomputeran awan (cloud computing), penaakulan analitik (analytical reasoning), kecerdasan buatan (artificial intelligence), reka bentuk UX (UX design), analisis perniagaan, pemasaran bergabung (affiliate marketing), jualan, pengkomputeran saintifik serta penerbitan video.

Demikian dititahkan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullalil bersempena program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 7 bagi tahun 2020 ini yang dianjurkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang diadakan di Masjid Masjid Al Muhammadiah, Kampung Guar Gajah, Arau pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah baginda, seperkara lagi yang tidak disenaraikan tetapi adalah juga faktor yang amat mustahak ialah kecerdasan spiritual (spiritual intelligence).

Seramai 150 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Padang Siding, Kubang Perun dan Kok Klang hadir bagi menerima agihan zakat masing-masing daripada pihak MAIPs yang dikurniakan oleh baginda di majlis itu.

Turut diadakan ialah perasmian projek pembangunan sosio-ekonomi asnaf MAIPs yang melibatkan bengkel kuih tradisional yang diusahakan oleh Sayangni Ibrahim, 49 tahun (No Tel : 0125367329) di No 56 Kampung Gial Mata Ayer yang telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu dan telah pernah mendapat sumbangan MAIPs berupa bantuan membina bengkel kueh bernilai RM10,000 pada bulan Disember 2017.

Terdahulu, turut diadakan ialah ‘Tayangan Video Kesihatan’ dan juga ‘Pemeriksaan Kesihatan’ yang dilaksanakan oleh para pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ke atas kesemua asnaf terpilih yang diundang hadir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button