Nasional

Ku Nan, LHDN akan cuba selesai kes saman cukai pendapatan RM57.17 juta

DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan cuba untuk menyelesaikan kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM57.17 juta yang tidak dibayar bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu sejak 2012 sehingga 2017.

Timbalan Peguam Cara Hasil yang mewakili LHDN, Dr Hazlina Hussain memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar hari ini.

“Ini adalah tawaran penyelesaian daripada defendan (Tengku Adnan). Oleh itu, kita kena teliti Yang Arif… Kedua-dua pihak berusaha untuk menyelesaikan kes. Oleh kerana kes ini melibatkan isu yang kompleks, menyebabkan pihak-pihak terpaksa mengambil sedikit masa (untuk selesaikan kes),” katanya.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan dan permohonannya untuk menggantung prosiding kes saman berkenaan.

Penghakiman terus bermakna mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Sementara itu, peguam Tengku Adnan, Datuk Rosli Dahlan memohon penangguhan perbicaraan kerana mereka sedang dalam proses menyelesaikan saman tersebut.

“Pihak-pihak terlibat telah mencapai penyelesaian mengenai kuantum tetapi cara penyelesaian masih belum diputuskan,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu sedang diusaha untuk diselesaikan.

Namun, Hazlina memberitahu mahkamah bahawa kuantum belum diputuskan oleh LHDN terutama mengenai jumlah penalti.

Hakim menetapkan 23 Sept untuk mendengar permohonan penghakiman terus LHDN serta permohonan Tengku Adnan untuk menangguhkan prosiding.

“Saya bagi dua minggu… jika tiada penyelesaian, saya harus meneruskan kes ini. Kes ini sudah cukup lama,” kata hakim.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lepas, setelah mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN, dalam tuntutannya, mendakwa sehingga kini Ahli Parlimen Putrajaya itu masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button