Nasional

KPWKM perkemas penyampaian perkhidmatan tingkat kesejahteraan golongan sasar

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah hadir bagi penyerahan
surat kelulusan kepada penerima bantuan baharu, penyerahan kad OKU, penyerahan surat pelantikan kepada Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan penyerahan surat pelantikan kepada Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Ehsan (RE) Kuala Kubu
Bharu.

Melalui penyerahan surat pelantikan PKKK dan PPKK ini, KPWKM komited  memperkemaskan penyampaian perkhidmatan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan golongan sasar.

Pada majlis ini, seramai enam orang telah dilantik sebagai ahli PPKK dan 6 orang akan dilantik sebagai ahli PKKK untuk Daerah Hulu Selangor dalam tempoh tiga (3) tahun. Perlantikan ini dibuat berdasarkan latar belakang, pengalaman dan kepakaran masing-masing serta mampu menjalankan peranan menjadi mata dan telinga untuk membantu KPWKM.

PPKK dan PKKK ditubuhkan secara sukarela oleh komuniti setempat dalam usaha untuk membantu, melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak.

PPKK berperanan menyelaraskan program pencegahan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat masyarakat setempat. Manakala PKKK pula berperanan sebagai sistem sokongan khusus mengenai perkhidmatan pemulihan dan perlindungan kanak-kanak.

Ketika ini, JKM mempunyai 140 Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) dengan 1,208 anggota, 137 Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) 1,165 anggota dan 143 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK). Daripada jumlah tersebut terdapat 11 PPKK dengan 89 anggota dan 11 PKKK dengan 85 anggota yang telah ditubuhkan di Negeri Selangor.

Pada tahun 2024, JKM telah diperuntukkan RM2.4 bilion bagi menampung keperluan bantuan dan sejumlah RM199,487,600 telah diagihkan kepada JKM Negeri Selangor dan manakala Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor (PKMD Hulu Selangor) telah menerima peruntukan sebanyak
RM19,780,555.

Perbelanjaan tersebut telah memberi manfaat kepada 4,301 penduduk Daerah Hulu Selangor dan 1,079 orang merupakan penerima bantuan daripada Kuala Kubu Bharu.

Bagi rekod pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) pula, sehingga 30 Mac 2024, seramai 755,561 OKU telah mendaftar dengan 126,849 OKU direkodkan di negeri Selangor. KPWKM menyeru agar semua OKU segera mendaftar supaya dapat menikmati semua kemudahan dan keistimewaan yang disediakan kerajaan. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button