Nasional

KPT buka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATABM 2024) dan Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATHABM 2024) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dibuka pencalonannya secara rasmi bermula hari ini sehingga 12 Julai 2024.

Turut dibuka Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2024 (ATBMST 2024) yang dikhaskan bagi mengiktiraf ahli akademik yang memartabatkan Bahasa Melayu dalam bidang Teknikal di peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti.

Anugerah tahunan berprestij ini diadakan bagi mengiktiraf usaha dan inisiatif ahli-ahli akademik merentasi Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara yang telah mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat dalam pelbagai bidang ilmu, merangkumi Sains Sosial, serta Sains dan Teknologi.

Semenjak penganjuran sulungnya pada tahun 2012, seramai sepuluh (10) orang tokoh akademik telah dinobatkan sebagai penerima ATABM.

Para pemenang akan menerima hadiah wang tunai dengan kategori ATABM 2024 sebanyak RM30,000; manakala ATHABM 2024 dan ATBMST 2024 pula masing-masing sebanyak RM5,000, termasuk piala iringan dan sijil.

Melalui penganugerahan ini, KPT akan terus komited dalam usaha mendaulatkan Bahasa  Melayu sebagai bahasa ilmu dan akan kekal memartabatkannya sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia.

Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan, sila layari https://atabm.mohe.gov.my atau hubungi pihak urus setia melalui e-mel [email protected]SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button