Nasional

KPM arah SPP segerakan pengambilan 18,702 guru ‘one-off’

MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff mengenai pengambilan guru baharu bagi institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mohd Radzi berkata, antara tumpuan KPM pada masa ini adalah untuk menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada.

“Terima kasih SPP kerana telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya menerima tawaran lantikan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook.

Tambahnya, KPM amat memerlukan bantuan segera SPP untuk menyelesaikan baki pengambilan guru tersebut bagi membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar SPP menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan guru lantikan secara Contract of Service dan guru interim bagi mata pelajaran bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada bulan April ini.


Selain itu, urusan lantikan guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim JPN Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini juga diberi perhatian.

Perbincangan turut menyentuh mengenai keluhan graduan lepasan ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi pengambilan khas di mana terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan PAKK dan hal itu akan diteliti oleh KPM dan SPP.

Dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan isu berkenaan pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah.

“Alhamdulillah, pihak SPP akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan AKP bagi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.

“KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button