Nasional

KPLB sedia peruntukan RM150 juta untuk Program Pasca Banjir

Permohonan baik pulih rumah pasca banjir dijangka meningkat

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM150 juta untuk bantuan pasca banjir termasuk di bawah inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia setakat ini.

Peruntukan itu menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, termasuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia, baik pulih jalan perhubungan desa dan Ameniti Sosial seperti longkang, surau, dewan orang ramai dan masjid di kawasan luar bandar di negeri yang terkesan dalam bencana itu.

“Bantuan pasca banjir yang diluluskan itu melibatkan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di sini hari ini.

Tambah Mahdzir, bantuan inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia untuk kerja-kerja membaik pulih rumah dan membina rumah baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta setakat 9 Januari lalu.

Peruntukan itu katanya melibatkan kerja-kerja pembaikan sebanyak 1,879 buah rumah dan membina rumah baharu pula 165 buah.

Kerajaan Keluarga Malaysia jelas beliau, menetapkan kos siling bagi baik pulih rumah pasca banjir adalah RM15,000 dan RM56,000 bagi bina baharu setiap unit rumah yang rosak teruk.

Setakat ini, KPLB telah menerima sejumlah 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di negeri yang terjejas banjir itu.

“Jumlah permohonan membaik pulih rumah dan membina semula rumah itu dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terlibat,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak RM50 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih jalan kampung dan jalan perhubungan desa yang rosak.

“Kementerian juga menyediakan peruntukan RM50 juta lagi untuk membaik pulih projek ameniti sosial seperti surau dan masjid,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button