Nasional

KPDNHEP buat pelbagai program bersifat rakyat-centric

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan semula pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurut KPDNHEP, Skuad Sukarelawan Banjir (SSB-KPDNHEP) dan FoodBank Malaysia di bawah kelolaan kementerian telah turut serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir meliputi Negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur dalam bentuk kerja-kerja pembersihan serta barang-barang yang sedia dimakan.

“Sehingga kini, SSB-KPDNHEP telah membantu seramai 171 keluarga yang 2 terlibat di dalam bencana banjir meliputi kawasan Shah Alam, Banting, Dengkil, Sepang, Kapar, Semenyih, Klang, Puchong dan di Pahang.

“Seramai 155 kakitangan Kementerian terlibat di dalam aktiviti turun padang dan ini termasuklah di Daerah Kuala Selangor yang dikhususkan kepada Kementerian melibatkan bantuan dan kerja pencucian di kampung Bukit Badong, Kampung Jeram dan Kampung Asahan.

“Sejumlah RM344,200.00 dalam bentuk barangan sedia dimakan telah disalurkan kepada Ketua Isi Rumah oleh FoodBank Malaysia,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP dan agensi kerajaan lain sedang melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bagi membantu meringankan kos sara hidup Keluarga Malaysia yang telah dilaksanakan di seluruh 222 parlimen bermula 2 Disember lalu dan akan diteruskan sehingga Mac ini.

Pada 7 Disember lalu, KPDNHEP memperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilanjutkan sehingga 4 Februari ini yang bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan asas.

KPDNHEP berkata, kesemua inisiatif yang dilaksanakan akan sentiasa dipantau secara berterusan daripada penguatkuasa KPDNHEP.

“Tugas penguatkuasaan turut giat dijalankan oleh KPDNHEP melalui OPS Cakna, OPS Pasar dan OPS Menu dalam memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas insiden banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Kementerian juga akan meneruskan libat urus bersama industri untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pasca covid-19,” katanya.

Tambahnya lagi, KPDNHEP turut membuat pelbagai program bersifat rakyat-centric yang akan dilaksanakan dalam tahun 2022 seperti Jualan Back-to-School, Jualan Musim Perayaan, Jualan Hari Kebangsaan dan Jualan Bulan Sukan.

Selain itu, KPDNHEP akan terus memperkasakan ekonomi digital dengan memperluas lagi inisiatif transaksi runcit tanpa tunai iaitu Retail Degitalisation Initiative (ReDI) ke seluruh negara sejajar dengan tuntutan realiti semasa dan inisiatif ini telah dilaksanakan di negeri Terengganu dan Sarawak pada tahun lalu.

Situasi Covid-19 dan bencana banjir telah mendorong KPDNHEP untuk menggiatkan program-program kepenggunaan bagi memastikan ahli Keluarga Malaysia lebih cakna kepada hak dan peranan sebagai pengguna di samping bersedia untuk menerima keadaaan sukar yang sedang menghambat negara dan membuat perubahan sementara sama ada dari segi citarasa, corak perbelanjaan dan semangat kenegaraan. – SM

(Visited 339 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button