Nasional

Kabinet setuju kontrak pegawai perubatan, pergigian disambung

Kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yasin berkata, ia termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

“Langkah ini bagi memastikan pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Sebagai langkah penyelesaian segera Jemaah Menteri bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pengawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Jemaah Menteri bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” kata Muhyiddin.

Tambah Muhyiddin, keputusan tersebut akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Difahamkan, lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan selepas mereka tamat pengajian dan melakukan ‘housemanship’ sejak tahun 2016.-SM

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button