Nasional

Kontena Israel cuba masuk melalui sempadan Kedah

PIHAK Kastam Diraja Malaysia telah mengarahkan sebuah  treler membawa kontena tertera logo ZIM iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di Israel berpatah balik apabila ia dikesan cuba memasuki negara ini melalui sempadan di Kedah, semalam.

Timbalan Pengarah Kastam Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin berkata, kontena itu cuba memasuki Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Kira-kira pukul 12 tengah hari, sebuah lori treler bernombor pendaftaran Thailand dikesan membawa kontena yang mengandungi dagangan peralatan komputer melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan ke dalam negara.

“Hasil penelitian anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kenderaan tersebut ditahan untuk mendapat pengesahan dan kemudian telah diarah berpatah balik ke Thailand pada pukul 1.30 tengahari hari yang sama.

Suhaime Affindi berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button