MEMPERKENALKAN diri sebagai wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang datang untuk memberi bantuan sebelum masuk ke rumah mangsa dan menyamun.
Itu yang dilakukan sindiket Gang Merry yang didalangi dua wanita itu juga mensasarkan golongan warga emas yang tinggal bersendirian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan polis berkenaan seorang wanita berusia 82 tahun yang menjadi mangsa mereka hingga kerugian RM8,000 pada 9 Ogos lalu.
Difahamkan, kejadian berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan mendapati, dua wanita yang menyamar sebagai anggota NGO itu akan datang ke rumah mangsa kononnya ingin memberikan bantuan.
“Semasa urusan penyerahan sumbangan dilakukan, seorang daripada suspek akan menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mangsa untuk mencuri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, suspek pertama berusia 23 dan suspek kedua, berusia 43 tahun itu akhirnya ditahan pada 14 Ogos lalu.
Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut menemukan 17 bungkus makanan pelbagai jenis dan jenama, empat telefon bimbit dan pakaian yang digunakan sewaktu melakukan jenayah tersebut.
“Kita juga telah menangkap suspek ketiga pada hari ini iaitu seorang wanita berusia 23 tahun yang juga menantu kepada suspek kedua. Kesemua mereka juga mengaku terlibat dalam kes terbabit,” katanya.
Ujarnya, suspek berusia 43 tahun mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah libatkan kes pecah rumah dan curi dalam bangunan.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan reman di IPD Sentul bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Eng Lai turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran orang yang menyamar sebagai wakil badan kebajikan. -SM