Nasional

Komunikasi, kesedaran boleh kurangkan impak bencana akibat perubahan iklim – PM

Kesan bencana akibat perubahan iklim boleh dikurangkan melalui inisiatif Pengurangan Risiko Bencana.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam pengurangan risiko bencana.

Pendekatan tersebut termasuk pembelajaran berasaskan pengalaman dan menggalakkan keterlibatan golongan muda dan belia dalam kesedaran awam, seterusnya memacu perubahan tingkah laku ke arah komuniti berdaya tahan bencana.

Ismail Sabri bersetuju dengan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkasakan pengurusan risiko bencana melalui penggubalan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Perdana Menteri juga akan melancarkan dokumen National Risk Register (NRR) for the public yang telah
disediakan oleh NADMA dengan kerjasama South East Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI-UKM) pada 28 Oktober ini.

“Bagi saya ini adalah satu usaha yang amat baik untuk menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di Malaysia, jenis-jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang
mana boleh dijadikan rujukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan samada untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ketika melancarkan Webinar bertajuk Risiko Bencana di Era Perubahan Iklim anjuran NADMA sempena sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional.

Tambah Ismail Sabri, beliau melihat bencana bukan sahaja daripada aspek kerosakan yang dibawa tetapi juga daripada sudut positif peluang untuk belajar, mengambil pengajaran serta iktibar agar lebih bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana pada masa hadapan.

Ianya boleh dilaksanakan menerusi inisiatif Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang telah diuar-uarkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 pada 27 September 2021.

Tambah Ismail Sanri, dalam mendepani risiko bencana, kesejahteraan Keluarga Malaysia merupakan prasyarat utama.

Beliau menyasarkan rakyat sentiasa peka terhadap risiko bencana, mempunyai daya tahan dan berkebolehan dalam mengadaptasi keadaan bencana dalam era perubahan iklim.

Menurut World Disasters Report 2020, dalam tempoh enam bulan pertama dunia berhadapan dengan COVID-19, lebih daripada 100 bencana telah berlaku di seluruh dunia yang menyebabkan lebih 50 juta
orang penduduk terkesan.

Sebanyak 99 peratus daripada kejadian bencana yang berlaku tersebut akibat daripada janaan cuaca
ekstrim.-SM

 

 

 

 

 

 

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button