fbpx
Nasional

Komitmen jitu warga Rejimen Wataniah dituntut

Bagi memenuhi matlamat Tentera Darat Malaysia (TDM), segenap peringkat di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW) hendaklah sentiasa berusaha keras untuk terus mengekalkan peranan dan tugasnya iaitu ‘To raise, Train and Maintain’ anggotanya. Ini memerlukan komitmen jitu dari semua bagi merealisasikan hasrat ini.

Dalam usaha memperkasakan Rejimen Askar Wataniah juga, lebih banyak usaha dan promosi yang dipelbagaikan hendaklah dilaksanakan.

Rejimen Askar Wataniah juga amat mengalu-alukan dan memerlukan lebih ramai penyertaan belia dan beliawanis dari agensi kerajaan dan swasta ke dalam pasukannya termasuklah IPTA dan IPTS setempat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis ‘R504AW Integration & Appreciation Nite 2020’ anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Denai Larian JPS Sungai Perlis, Pengkalan Asam Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri itu disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Dalam ucapan alu-aluan beliau terdahulu daripada itu, Mohamad Zaidi memaklumkan bahawa matlamat utama majlis tersebut adalah bagi meraptaikan dan mewujudkan suasana yang bakal berlangsung pada salah satu acara yang akan dilaksanakan semasa Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri Ke 32’ pada tahun hadapan yang bakal menghimpunkan kesemua Komander Siri 500 Tentera Darat Malaysia yang berpengkalan di setiap negeri hadir ke Perlis.

Menurut beliau, pihak rejimen turut mengambil kesempatan daripada program tersebut untuk meraikan para pegawai dan anggota rejimen yang telah melangsungkan perkahwinan pada bulan November baru-baru ini terdiri daripada Leftenan Muda Muhamad Khairunizam Jamal dan Nur Atiqah Rodzi, Koperal Mohd Fazli Bidin dan Siti Huzaimah Hassan serta
Prebet Mohamad Sufri Sulaiman dan Nurul Asma Adzyani Zaini selain beberapa orang anggota yang baru sahaja bersara daripada perkhidmatan.

Tambah Mohamad Zaidi, majlis ini juga adalah sebagai simbolik menyambut ahli-ahli BAKAT baru dalam rejimen serta bagi mengukuhkan ikatan persaudaraan di antara semua peringkat anggota.

Di akhir program Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan cabutan bertuah bagi hadiah utama berupa sebuah basikal tajaan syarikat McDonald’s Kangar.

(Visited 254 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button