Hiburan

Komen negatif netizen: Billie Eilish hampir bunuh diri

INDUSTRI hiburan dan kecaman netizen ibarat isi dan kuku. Apa sahaja gambar atau video yang dimuat naik selebriti, pasti akan ada kecaman daripada netizen.

Isu ini bukan hanya berlaku dalam negara sahaja, sebaliknya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, golongan artis dan selebriti juga tidak dapat lari daripada menjadi bahan kecaman netizen.

Malah komen netizen di negara luar ada kalanya jauh lebih ‘puaka’ daripada kecaman yang dilemparkan oleh netizen tempatan sehingga ada dalam kalangan artis mereka yang sanggup bunuh diri.

Perasaan itu juga pernah dialami oleh penyanyi terkenal Billie Eilish ekoran rasa tidak tahan dengan komen negatif netizen terhadapnya.

“Impak komen negatif netizen terhadap selebriti adakalanya sangat luar biasa.

“Saya sendiri hampir membunuh diri tetapi untuk meninggalkan media sosial bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya dalam satu temubual bersama British GQ.

Menurut Eilish, media sosial juga adalah tempat di mana peminat setia seseorang selebriti itu berada untuk mengetahui perkembangan dan hal-hal berkaitan.

“Peminat saya yang lindung dan balas setiap komen berunsur kebencian terhadap saya di laman sosial.

“Jadi, takkan saya nak tinggalkan mereka. Sudah pasti saya akan sentiasa memberikan perkembangan baru mengenai kerjaya dan hal harian saya,” katanya.

Jelas Eilish, bukan selebriti sahaja yang terasa impak ini, sebaliknya melibatkan sesiapa sahaja yang dikenali ramai termasuklah pemimpin dunia.

“Bila anda terkenal, anda akan jadi disukai ramai dan ramai juga yang benci. Itu lumrah.

“Apa yang penting ialah sentiasa memberikan yang terbaik kepada peminat sebab mereka yang selama ini menyokong dan melindungi kita daripada komen jahat netizen,” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button