Kod rahsia pemain golf
SEMASA saya mula belajar bermain dengan pemain profesional di Peransang Templer Golf di Rawang yang kini telah menjadi tapak perumahan mewah, saya diingatkan supaya tidak tertipu dengan helah pemain golf yang mencari makan di padang golf.
Dengar memang macam remeh, tetapi jangan main-main ada orang yang sampai tergadai harta benda kerana berjudi di padang golf.
Ada satu cerita yang lucu diceritakan oleh rakan yang saya dengar sampai tersembur kopi. Dalam satu kejohanan rakan saya bermain dengan dua rakan lain dan seorang yang tidak dikenali.
Kejadian berlaku di Kelab Golf Perkhidmatan Awam. Tiga rakan saya ini memang selalu bermain sambil bertaruh dan kadang-kala cecah ribuan ringgit juga dibuatnya.
Sedang meriah bermain, rakan sepenerbangan atau fligh mate yang tidak dikenali melahirkan hasrat untuk tumpang sekaki bertaruh. Melihatkan prestasi dan pukulan yang teruk beberapa lubang yang lepas, rakan saya menerima dengan gembira.
Ibaratnya kecil tapak tangan, padang golf ditadahkan. Apabila dipersejui maharnya, permainan pun diteruskan. Ketika inilah lelaki itu menunjukkan belangnya. Berlubang-lubang dimakannya. Hingga akhirnya dia menarik diri dengan asalan kerana terlalu banyak menang.
Sudahlah pedih kalah, disindir pula. Inilah yang sering dihadapi dalam permainan golf. Jadi berhati-hatilah dengan kod rahsia.
- Saya pemain golf sosial sahaja – Sebenarnya dia buaya yang menunggu mangsa.
- Saya lama tak main – Sebenarnya hari-hari main dan berlatih lihat kesan selaran matahari sudah tahu. Dia cuma lama tidak mainkan orang sahaja.
- Saya pukul tak kuat – Sebenarnya pukulan tidak kuat ke kiri atau ke kanan, asyik lurus sahaja.
- Saya tidak pernah bertaruh – Sebenarnya dia adalah kaki judi di padang golf.
Banyak lagi kod rahsia yang harus diperhatikan dan difahami. Kadangkala kita faham apa bila terkena.
Saya masih tidak dapat lupakan kekalahan 14 bola semasa bermain di Jakarta.