Banjir

KKMM salur lebih RM2 juta bantuan segera mangsa banjir

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa bencana banjir berjumlah RM2.18 juta yang disumbangkan melalui agensi-agensi di bawah KKMM dan akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah meminta Kementerian untuk mengambil tindakan serta merta menggerakkan semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia untuk membantu penduduk di kawasan terlibat banjir sejak semalam.
“KKMM telah menggerakkan sebanyak 12 buah kenderaan 4×4 dan mewujudkan pusat penempatan sementara (PPS) di agensi KKMM yang mempunyai ruang dan fasiliti bersesuaian. Buat masa ini PPS disediakan oleh FINAS di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang yang boleh menempatkan 1,000 orang mangsa banjir.
”Semua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di negeri-negeri yang terjejas banjir sedang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan pihak bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan Internet di kawasan yang terlibat,” katanya.
Selain itu, MyCreative Ventures di bawah KKMM juga menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir.
Pihak KKMM bekerjasama erat dengan NADMA untuk penyelarasan dan pengagihan bantuan-bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur dengan bantuan sejumlah 2,000 pek makanan disediakan setiap hari dan sejumlah 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.
Kementerian juga telah mengenal pasti seramai 130 buah keluarga warga KKMM dan agensi menjadi mangsa banjir dan bantuan segera berbentuk makanan dan pakaian turut disalurkan kepada mereka.
“Saya menggesa orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir daripada sumber yang sahih dan pihak RTM serta BERNAMA akan terus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas. Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melalui Info on Wheels (IOW) juga akan melaksanakan hebahan awam di peringkat daerah seluruh negara dengan tumpuan di kawasan banjir dan berpotensi banjir,” katanya.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan di Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur melalui talian bebas tol 1800-88-7997 atau talian Bilik Gerakan Bencana KKMM di 03-88618427.
Beliau berharap semoga semua mangsa yang terlibat dan terkesan akibat bencana banjir ini tabah dalam menghadapi ujian ini dan segala bantuan yang diperlukan akan diberikan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button